
Risiko Varian Omicron, KKM Tak Tolak Kemungkinan Jadikan Dos Penggalak Sebagai Pelengkap Vaksinasi
Baru sahaja ekonomi Malaysia kembali bernafas dan rakyat bebas bergerak, namun kemunculan varian baharu yang dinamakan Omicron ini mungkin melelahkan kita sekiranya mula leka dan alpa.
Omicron dilaporkan satu varian yang mungkin lebih bahaya kerana dikatakan mempunyai 32 mutasi protein berbanding sembilan oleh (varian) Delta dan diisytiharkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai varian yang membimbangkan.
Kewujudan risiko gelombang baharu ini susulan penurunan efikasi vaksin dalam badan penerima, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak menolak kemungkinan bahawa penerima dos penggalak vaksin COVID-19 pula akan diletakkan di bawah kategori lengkap vaksinasi.
Memetik sumber Awani, menterinya Khairy Jamaluddin berkata, perkara itu dalam pertimbangan dan akan diputuskan selepas Malaysia melihat dan menilai pengalaman negara-negara lain yang telah melaksanakan langkah tersebut.
“Soalan dia, sama ada kita akan buat keputusan, kalau tidak ambil dos penggalak kira tak lengkap? Kita sedang kaji pengalaman di negara lain, ada negara yang buat keputusan bahawa dos penggalak ini diperlukan untuk seseorang dikategorikan sebagai penerima dos lengkap, atau penerima vaksinasi lengkap.
“Kalau kita dapati kes meningkat, dan kemasukan ke hospital meningkat, disebabkan keengganan orang untuk terima dos penggalak, dan sudah menjadi norma antarabangsa untuk mereka mensyaratkan vaksinasi lengkap itu penerima series primer, dan dos penggalak, maka kita akan membuat keputusan yang sama.” katanya.

Omicron berisiko mencetuskan pandemik
Pakar epidemiologi, Dr. Eric Feigl-Ding dari Kesatuan Saintis Amerika Syarikat memaklumkan Omicron ‘agak serius’ dan berisiko mencetuskan Pandemik 2.0 di sana.
1. Omicron merujuk kepada strain baru B.1.1.529 yang pertama ditemui di Gauteng, Afrika Selatan.
2. Varian tersebut mempunyai 32 mutasi spike protein iaitu dua kali ganda banyak daripada varian Delta (B.1.617) yang mencetuskan gelombang teruk di India.
3. Dr. Eric Feigl-Ding berkata varian Omicron menjangkiti mereka yang divaksinasi. Malah ia juga didapati menjangkiti bekas pesakit COVID-19 atau Covid Survivor.
4. Setakat ini, negara Afrika Selatan, Botswana, Hong Kong, Belgium, United Kingdom, Jerma, Itali, Denmark, Australia, Netherlands dan Israel telah dilaporkan kes varian Omicron.
KKM ketika ini belum dapat memastikan tahap keupayaan vaksin dan ubat sedia ada dalam usaha mengekang varian Omicron.
Walaupun belum ada lagi kes ini di Malaysia, rakyat perlu mengambil sikap lebih waspada dengan kemunculan varian baharu, termasuk bertindak segera dengan mengambil dos penggalak.
Sumber: Awani