K-Pop

Risau Anak Remaja Minat K-Pop? Ini Nasihat Buat Para Ibu Bapa

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Memang mencabar untuk mendidik anak zaman sekarang lebih-lebih lagi ketika mereka sedang meningkat dewasa dan sedang menempuh alam remaja.

Pada ketika inilah mereka mudah terpengaruh dengan rakan sebaya serta mula menunjukkan minat dalam budaya seni, artis dan hiburan yang lebih luas dari Jepun, Korea Selatan, Amerika Syarikat dan sebagainya.

Walaupun risau dengan perubahan ini, ibu bapa tidak seharusnya bersikap negatif serta perlu bersedia menanganinya dengan cara baik dan mengelak dari menimbulkan persengketaan dengan anak masing-masing.

Satu perkongsian nasihat yang sangat berguna telah dibuat oleh saudara Mohd Fairuz Bin Abu atau lebih dikenali dengan Akhi Fairuz Al-Jengkawi di Facebooknya berikut untuk sama-sama dihayati oleh para ibu bapa hari ini yang sedang membesarkan anak remaja mereka.

K-Pop

Bila ikuti kisah seorang remaja perempuan menangis bila koleksi barang K-pop dia dibakar oleh mak ayah, teringat pula kisah yang saya pernah kongsi 2 tahun lepas.

Ketika itu telefon saya berdering tanpa saya sempat pickup. Lalu saya telefon kembali nombor berkenaan.

“Assalammualaikum, siapa ni ya? Saya Fairuz. Ada telefon saya tadi kan?”

“Ya, saya. Saya Puan ****. Saya dapat nombor Encik dari Encik Hadi Akmal. Saya nak share kisah anak saya ni.”

Saya jawab silakan.

“Macam ni cik. Anak saya ni dah umur 18 tahun. Perempuan. Saya pun tak tahu kenapa, tapi dia sekarang melampau sangat!”

Puan ini mula meninggikan suara!

“Pemalas! Pengotor. Tak nak bersihkan bilik. Sentiasa bersepah. Sampah kat dapur pun tak reti nak buang. Dulu dia tak macam ni.

Saya tak tahu nak buat apa dah. Encik tahu tak rumah bimbingan mana-mana untuk betulkan adab serta akhlak anak saya ni?”

Saya jawab,

“Kenapa anak puan jadi macam tu ya?”

“Semuanya bermula masa dia masuk sekolah menengah. Dia langsung tak ada masalah dalam pelajaran. Tu dapat masuk ***.”

Bila saya dengar je nama sekolah tu, saya terus menyampuk,

“Hebat sekolah tu Puan. Ramai pimpinan wanita di Malaysia lahir dari sekolah berkenaan.”

Puan tu seolah-olah tak dengar apa saya cakap. Beliau kembali menyambung bebelan.

“Saya tak tahu pula masuk situ pelajar wajib kena ada iPad. Dan itulah permulaan anak saya rosak. Sejak diberi iPad, dia jadi lain. Balik rumah, asyik mengadap iPad, layan K-pop, cerita Korea bagai.

Saya geram! Saya tak pernah ajar dia tengok benda macam tu. Saya delete semua. Ni dia belajar dari budak sanalah ni. Jadi, lepas habis Form 3, saya pindahkan dia ke sekolah lain.”

Saya tarik nafas dalam-dalam masa ni.

Cukuplah tu puan ni bercakap. Sebenarnya banyak lagi kisah anaknya ni, yang mengaibkan pun ada. Tapi saya kongsikan ini jelah.

“Ok dah puan? Sekarang saya cakap, puan pula dengar.” 😅

Tersentak beliau. Terus diamkan diri.

“Macam ni puan, anak puan jadi macam sekarang ni bukan sebab dia tiba-tiba jadi bodoh, pengotor ke apa. Tapi ia bermula bila beliau meningkat usia remaja.

Remaja ni puan kecenderungan dia pelbagai. Bila dia minat cerita Korea, kita kena raikan. Layan dia macam kawan-kawan. Bukan delete video dia tu. Sedikit demi sedikit dia rebel.

Mendidik anak remaja ni ibarat main tarik tali. Bukanlah bermaksud kita nak anak pijak kepala kita, tapi kita berusaha memahami perubahan diri mereka sebagai seorang remaja.

Anak puan budak pandai. Bukan senang nak masuk *** tu. Budak perempuan masuk situ semuanya hebat-hebat.

Saya cadangkan puan dan suami slow talk dengan anak. Tanya dia baik-baik, kenapa jadi macam tu dan apa boleh dibantu.

Kalau anak puan jadi begini atas kesilapan diri kita sebagai mak bapak, saya cadangkan puan minta maaf pada dia. Ada ketika mak bapak kena rendahkan ego di depan anak.

Bukanlah maksud saya puan bersalah, tak. Anak puan pun bersalah dalam hal ni.

Tapi saya nak bagi tahu bila handle anak remaja ni kita perlu berhemah, ibarat tarik rambut dari tepung dan ia tak berselerak.”

Diam puan tu. Hampir seminit juga dia mendengar. Lalu beliau berkata,

“Tapi encik saya dan suami dah bagi segala-galanya pada dia. Cakap apa je, semua kami dah sediakan.”

Saya tepuk dahi masa ni.

Ungkapan kami dah bagi segala-galanya ni adalah kata-kata mak bapak yang tak mahu akui kesilapan sendiri.

“Begini puan, ya betul. Kita rasa kita dah buat yang terbaik. Tapi adakah apa yang kita bagi tu yang diperlukan oleh anak?”

Diam lagi puan berkenaan.

“Jadi, puan masih berhasrat nak hantar anak ke rumah pembinaan akhlak? Rumah terbaik untuk didik anak puan adalah di rumahnya sendiri.”

Beliau diam buat kesekian kalinya.

“Oklah puan. Itu je dapat saya kongsikan. Maaf, nak kena letak phone ni. Nak ambil anak balik sekolah. Assalammualaikum.”

“Waalaikummussalam. Terima kasih ya cik.”

*******

Sahabat-sahabat yang dikasihi Allah.

Cabaran mendidik anak remaja ni bukan senang. Kesilapan serta kebodohan sinonim dengan remaja.

Kita dulu pun gitu juga. Namun, kebodohan kita simpan untuk diri kita sahaja. Ya lah, mana ada media sosial kan.

Jika anak cenderung sesuatu perkara, selagi mana dia dapat bahagikan masa dengan pelajaran, it’s ok.

Jika apa yang anak suka tu banyak bagi mudarat pada dia, bincang baik-baik. Mereka perlu nampak point of view kita sebagai mak ayah. Kadang bila dah obses, mana nampak kesan buruk.

Sentiasa pesan hal yang baik-baik buat mereka. Treat them as a friend, bukan musuh. Kalau awal-awal lagi timbulkan persengketaan, memang ia akan cetuskan konflik berpanjangan.

Sabar didik anak-anak.

Anak-anak bukan selamanya kanak-kanak.

Satu ketika kanak-kanak itu akan menjadi remaja.

Jadi kawan mereka okey!

Akhi Fairuz Al-Jengkawi
Saya kalau dalam ceramah, bila budak-budak cakap minat K-pop, saya cabar mereka untuk minat sampai boleh cakap Bahasa Korea atau sambung belajar ke sana.

BACA: Perkara Melukakan Hati Generasi Gen-Z Yang Tidak Disedari Oleh Ibu Bapa Pada Hari Ini

Sumber: Akhi Fairuz Al-Jengkawi