
Rintihan Mangsa Banjir: PPS Penuh – Terpaksa Sewa Rumah Tumpangan, Tinggal Dalam Lori
Banjir di Kelantan semalam dilaporkan bertambah buruk apabila jumlah mangsa yang dipindahkan mencecah 2,038 orang membabitkan sebanyak lapan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di dua kawasan iaitu Pasir Mas dan Rantau Panjang.
Wartawan Hazelen Liana Kamarudin dari Sinar Harian melaporkan, melalui tinjauan yang dilakukannya di Rantau Panjang mendapati, PPS di kawasan tersebut sudah pun penuh ketika ini.
Ekoran dari itu, ada di antara mangsa banjir di kawasan tersebut didakwa terpaksa menyewa rumah tumpangan dan ada juga yang terpaksa tinggal di dalam lori.
“Pada awalnya, kami 9 orang diminta ke PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh namun disebabkan prosedur operasi standard (SOP) COVID-19, ia sudah penuh.
“Kemudian diminta pula ke PPS SK Gual Tinggi, juga penuh. Jadi, disebabkan tiada pilihan kami terpaksa menyewa, nasib baik pemilik rumah tumpangan prihatin dan berikan harga yang murah,” jelas seorang mangsa banjir, Nur Farahida Mohd Shakri, 30, dari Kampung Tersang.
Nur Farahida yang juga merupakan seorang ibu tunggal berkata, dia terpaksa mengeluarkan belanja sebanyak RM100 bagi menyewa rumah tumpangan tersebut selama 7 hari.
Tambahnya lagi, seorang adiknya yang berusia 25 tahun merupakan seorang penghidap penyakit kanser usus, manakala anak saudaranya yang berumur 8 tahun pula menghidapi kanser darah.
Apabila keadaan banjir semakin buruk dan rumah mereka ditenggelami air dari Sungai Golok yang melimpah, dia dan 8 orang ahli keluarganya tersebut terpaksa membuat keputusan untuk berpindah.
Seorang nenek, Ramlah Mohamad, 64, bersama 3 anak dan 4 cucunya pula memilih untuk tinggal di dalam lori yang dipinjam dari saudara mereka.
“Ini pilihan terakhir kami walaupun tidak selesa. Ini disebabkan lokasi PPS sangat jauh dari Kampung Tersang.
“Kami hendak berulang-alik menjenguk rumah, bimbang ada kecurian atau kerosakan disebabkan air banjir yang deras,” jelasnya lagi.
BACA: PRU15: Apa Sebenarnya Perancangan SPR Sekiranya Banjir Semakin Buruk?
Sumber: Sinar Harian