
Remaja Palestin Maut Ditembak Ketika Mengambil Kucingnya, Israel Cakap ‘Tak Sengaja’
Jana Majdi Zakarneh, 16, seorang remaja perempuan warga Palestin ditemui mati di atas bumbung rumah keluarganya di Jenin Ahad lalu selepas ditembak ‘sniper’ atau penembak tepat Israel ketika gadis tersebut mahu mengambil kucingnya.
Rejim Zionis mengaku anggotanya yang berada di bangunan berhampiran secara ‘tidak sengaja’ telah tertembak remaja perempuan Palestin tersebut sebanyak 4 kali!
“Empat das tembakan yang mengenai Jana telah meragut nyawanya,” jelas bapa saudaranya, Yasser dalam nada sedih.
Dalam satu kenyataan, Pasukan Pertahanan Israel (IDF) berkata siasatan awal mendapati Jana berada dekat dengan kumpulan lelaki bersenjata yang melepaskan tembakan dan melemparkan bom molotov ke arah anggota mereka.
Susulan insiden itu, Perdana Menteri Palestin, Mohammad Shtayyeh menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meletakkan rejim Tel Aviv dalam ‘list of shame’ kerana jenayah yang dilakukan terhadap golongan kanak-kanak dan remaja.
Gesaan tersebut dibuat olehnya ketika mesyuarat bersama Wakil Khas Setiausaha Agung PBB untuk Konflik Bersenjata dan Kanak-kanak, Virginia Gamba di Ramallah.
Lebih 210 penduduk Palestin termasuk lebih 50 kanak-kanak terbunuh di Tebing Barat, Baitulmaqdis Timur dan Genting Gaza sejak awal tahun lalu.
Jumlah korban kekejaman rejim Zionis di Tebing Barat pada 2022 juga adalah yang paling tinggi dalam tempoh 16 tahun.
BACA: Wanita Palestin Sarat Hamil Terpaksa Bertarung Nyawa Sendirian Di Penjara Israel
Sumber: Sinar Harian
Trending now



