
Remaja Mohon Maaf, Nafi Sekeras-Kerasnya Perbuatan Bakar Pusat Tahfiz
Seakan baru berlaku semalam, kejadian kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittafaqiah di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju masih lagi segar dalam ingatan rakyat Malaysia.
Setelah hampir tiga tahun berlalu, dua hari lalu Hakim Datuk Azman Abdullah menjatuhkan hukuman penjara selama diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong kepada remaja tertuduh atas tuduhan membunuh 23 individu dalam kebakakaran tersebut.
Semasa mengakhiri penghakimannya remaja tersebut, Hakim Datuk Azman Abdullah telah memberikan ucapan yang mengundang perasaan sebak di kawasan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu.
“Saya mendoakan roh yang meninggal (dunia) dicucuri rahmat oleh Allah SWT, menjadi ahli syurga, begitu juga ibu bapa mereka.”
Peguam, Mohd Haijan Omar yang mewakili remaja lelaki yang kini berusia 19 tahun itu berkata, anak guamnya dengan merendah diri memohon maaf kepada semua pihak dan menafikan sekeras-kerasnya perbuatan tersebut.
“Anak guam saya dengan merendah diri memohon maaf kepada orang yang terlibat atas kesukaran dan kesulitan yang dilalui sepanjang tempoh perbicaraan berlangsung sejak tiga tahun lalu.”
Walau bagaimanapun, memetik laporan Bernama hakim berkata adalah lebih baik bagi peguam tersebut menghujahkan perkara itu di Mahkamah Rayuan semasa rayuan didengar.
Menurut Mohd Haijan, semasa berada di penjara, anak guamnya telah mengikut kelas dan akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atas inisiatif sendiri.
Dalam pertuduhan pindaan, remaja tersebut bersama seorang yang tidak dicamkan dituduh membunuh dan menyebabkan 23 orang penghuni pusat tahfiz tersebut meninggal dunia pada 14 September 2017 antara jam 4.15 hingga 6.45 pagi.