
Rekod Kehadiran Ahli Parlimen Di Dewan Rakyat Didedahkan, Agak-Agak Siapa Yang Selalu Tak Hadir?
Baru-baru ini, portal Malaysiakini telah mengeluarkan analisis ke atas rekod kedatangan Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.
Persidangan Dewan Rakyat tersebut adalah bagi tempoh 71 hari persidangan iaitu bermula pada 26 Julai 2021 sehingga 24 Mac 2022 yang lalu dan dibuat berdasarkan data yang dibekalkan oleh MyMP.org.my.
Tidak didedahkan pula faktor yang menyebabkan mengapa berlaku ketidakhadiran Ahli Parlimen semasa persidangan ini sama ada disebabkan oleh urusan rasmi atau peribadi, turun melawat kawasan, cuti sakit (MC), bercuti ke luar negara atau saja-saja ponteng.
Diibaratkan seperti budak sekolah bermasalah yang sering ponteng sekolah, hal ini sudah tentu menyebabkan sedikit kegusaran di kalangan rakyat yang tidak ingin melihat wakil rakyat yang telah diundi oleh mereka hanya makan gaji buta dan gilakan jawatan.
Menurut perkongsian yang dibuat oleh Zainuddin Omar melalui Facebooknya, berdasarkan artikel Malaysiakini tersebut, hanya 18 Ahli Parlimen menunjukkan kehadiran cemerlang apabila hadir pada semua hari persidangan.
Jumlah ini kebanyakannya adalah dari wakil rakyat yang berada di blok pembangkang iaitu seramai 14 orang dan hanya 4 orang berada di blok kerajaan.
Berikut merupakan senarai Ahli Parlimen (blok pembangkang) yang mencatatkan kehadiran sempurna:
- Nor Azrina Surip (PKR – Merbok)
- Wong Chen (PKR – Subang)
- Wilfred Madius Tangau (UPKO – Tuaran)
- Wong Hon Wai (DAP – Bukit Bendera)
- Wong Kah Woh (DAP – Ipoh Timur)
- Thomas Su Keong Siong (DAP – Kampar)
- Nga Kor Ming (DAP – Teluk Intan)
- Hannah Yeoh Tseow Suan (DAP – Segambut)
- Fong Kui Lun (DAP – Bukit Bintang)
- Anthony Loke Siew Fook (DAP – Seremban)
- Alice Lau Kiong Yieng (DAP – Lanang)
- Mohd Anuar Mohd Tahir (Amanah – Temerloh)
- Khalid Abdul Samad (Amanah – Shah Alam)
- Hasan Bahrom (Amanah – Tampin)
Senarai Ahli Parlimen (blok kerajaan) yang mencatatkan kehadiran sempurna pula ialah:
- Zakaria Mohd Edris (Bersatu – Libaran)
- Mohd Salim Mohd Shariff (UMNO – Jempol)
- Ahmad Tarmizi Sulaiman (PAS – Sik)
- Che Abdullah Mat Nawi (PAS – Tumpat)
Beberapa pemimpin tertinggi parti juga didapati tidak menunjukkan contoh yang baik kepada pengikut mereka dari segi kehadiran di Dewan Rakyat.
Rekod kehadiran paling teruk dari kalangan pemimpin tertinggi parti dimiliki Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga pengerusi Perikatan Nasional (PN) dan presiden Bersatu yang hanya hadir di Dewan Rakyat sebanyak 17 hari sahaja dari jumlah 71 hari itu.
Sebaliknya, presiden UPKO (Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu) Wilfred Madius Tangau pula mempunyai rekod kehadiran terbaik dalam kalangan pemimpin tertinggi sesebuah parti.
Jika dilihat secara purata, Ahli Parlimen menghadiri 56.5 daripada 71 hari persidangan dengan Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) mempunyai purata kadar kehadiran 63.1 hari, lebih baik daripada purata blok kerajaan iaitu 52 hari bagi setiap ahli parlimen.
Seorang lagi pengguna Facebook, Muhamad Hanapi Jamaludin memberikan satu ulasan yang menarik mengenai rekod kedatangan Ahli Parlimen ini melalui hantarannya berikut:
Rekod kehadiran Ahli Parlimen di Dewan Rakyat dah keluar. Perhatikan. Rakyat majikan dalam amalan demokrasi. Rakyat satu entiti, mentaklifkan amanah kepada wakil mereka untuk disuarakan di parlimen. Sebagai majikan, jika rekod pekerja kaki ponteng, culas dan mengelat. Nasihatkan mereka perbaiki, atau pergilirkan amanah kepada pekerja lain yang lebih quwwah.
Kerja Ahli Parlimen menurut model Westminster; merangka, mendebatkan dan menggubal undang-undang, menyemak silang setiap dasar, belanjawan dan keputusan yang dibuat oleh kerajaan supaya perancangan dibuat benar-benar memberi manfaat kepada rakyat dan negara.
Kerja edar bakul makanan, makan kenduri, lihat longkang tersumbat termasuk peranan konvensional Ahli Parlimen juga. Namun, bila bertembung dengan jadual parlimen ia perlu lebih diutamakan, manakala kerja berkenaan boleh digalas para pegawai, wakil, malah agensi kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga sentiasa bekerja.
Kerja Ahli Parlimen dibatasi kerana memberikan kuliah? Ini pun satu bentuk celaru juga. Ahli Parlimen boleh ganti tugas ustaz pada bila-bila masa, para asatizah hatta seorang pun tak boleh gantikan Ahli Parlimen ketika sidang dewan. Mereka lebih awla berada di dewan. Di sana punca kuasa mereka dibayar. Masyarakat tercerah, terdakwah juga tanpa kuliah mereka. Kalau nak utamakan peranan sebagai pengkuliah dengan sering meremehkan amanah di dewan, silalah jadi pengkuliah. Ramai lagi yang lebih layak menggalas amanah berat mensejahterakan rakyat melalui ‘kuasa dan tangan’ jauh lebih berkesan daripada sekadar lisan.
Rakyat ponteng kena tindakan, MP kaki ponteng naik jawatan.
Sumber: Malaysiakini, Facebook Zainuddin Omar, Facebook Muhamad Hanapi Jamaludin