Rawatan COVID-19

Rawatan Di Rumah Untuk Memulihkan Semula Deria Bau Yang Hilang Akibat COVID-19

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Salah satu dari gejala atau simptom yang sering dialami oleh mereka yang pernah dijangkiti COVID-19 adalah kehilangan deria bau.

Walaupun badan sudah kembali sihat, ada yang masih mengalami masalah ini meskipun sudah melebihi tempoh 2 minggu serta telah pulih dari jangkitan.

Ini pastinya mengganggu serta menjejaskan emosi bekas pesakit kerana deria bau sememangnya amat penting untuk digunakan dalam aktiviti kehidupan seharian.

Dr. Kamarul Ariffin Nor Sadan menerusi akaun Facebooknya telah membuat satu lagi perkongsian bermanfaat sebagai ikhtiar untuk memulihkan semula deria bau yang telah hilang.

Walaupun latihan ini dapat dilakukan sendiri di rumah, orang ramai masih digalakkan untuk berjumpa dengan doktor bagi membuat pemeriksaan lebih-lebih lagi sekiranya masalah tersebut berlarutan.

Rawatan COVID-19

“Selepas 2 minggu saya kena COVID-19, saya masih tak boleh bau. Apa boleh saya lakukan, doktor?”

Deria bau dan rasa adalah antara deria yang penting dalam kehidupan. Tanpa deria bau, kualiti hidup akan terjejas. Makanan akan jadi kurang enak dan haruman akan tiada lagi bererti.

Selain itu, fungsi deria bau adalah untuk mengenal pasti bahaya di sekeliling kita. Melalui bau, kita boleh ada bahaya: Contoh: bau asap, bahan kimia, makanan basi, pereputan dan sebagainya.

Oleh itu, kehilangan deria bau adalah sesuatu yang tidak remeh. Ia perlu dirawat dengan segera dan teliti. Lebih lambat dirawat, maka potensi untuk ia menjadi kekal, lebih tinggi.

Sesetengah orang yang dijangkiti COVID-19, akan mengalami kehilangan deria bau, sama ada kehilangan separa atau kehilangan penuh. Lazimnya gejala ini akan hilang selepas 2-3 minggu.

Jika anda masih alami kehilangan atau kekurangan deria bau selepas 2 minggu, anda disarankan untuk berjumpa doktor untuk diperiksa. Jika ada keperluan, maka anda akan dirujuk kepada pakar ENT.

Apa rawatan yang dilakukan untuk pulihkan semula deria bau?

1) Terapi Latihan Bau (Smell Re-training Therapy)

Terapi ini fokus kepada melatih semula sel olfaktori (bau) untuk mengenal pasti bau-bau. Terdapat 4 kategori bau yang biasa dilatih semula iaitu bau floral, herba, buah dan resin.

Floral = bau bunga : ros / melur / lavender

Herba = bau rempah : cengkih / buang lawang

Buah = bau buah sitrus : lemon / limau

Resin = bau getah pokok : eucalyptus

Latihan bau ini boleh dilakukan di rumah dengan mudah dan selamat. Boleh gunakan bahan-bahan segar untuk 4 kategori bau ini, atau gunakan minyak pati (essential oil).

Caranya: hidu setiap bahan mewakili ini selama 20 saat setiap satu. Pastikan selama 20 saat itu, anda fokus kepada bau tersebut. Ulang latihan ini, dua kali sehari. Ulang sehingga deria bau kembali.

*Peringatan! Latihan ini bukan rawatan untuk mencegah atau memulihkan jangkitan COVID-19. Ia adalah ikhtiar untuk memulihkan semula deria bau yang telah hilang.

2) Ubat (Decongestant/Antihistamine/etc)

Kadangkala kehilangan bau itu akibat laluan udara dalam hidung tersumbat ekoran bengkakan dindingnya atau hingus yang pekat. Ia biasa dikaitkan dengan keradangan.

Kerandangan ini boleh dirawat dengan ubat-ubatan seperti antihistamin, semburan steroid, dan sebagainya. Untuk dapatkan ubat-ubat anda disarankan untuk berjumpa doktor dahulu.

Doktor hanya akan memulakan rawatan dengan ubat-ubatan setelah pemeriksaan dilakukan, dan pasti ia sesuai serta ia tidak menambah risiko kemudaratan.

*Peringatan! Pengambilan apa-apa ubat-ubatan atau suplemen tanpa berbincang dengan doktor, tidak digalakkan. Ini bagi mengelakkan penggunaan ubat yang salah dan tidak berkesan.

***

Jika ada sebagai kerisauan, kemusykilan dan keraguan, eloklah berjumpa doktor dahulu untuk konsultasi. Boleh ke klinik kesihatan atau klinik swasta berhampiran anda.

Semoga bermanfaat!

Dr. Kamarul Ariffin Nor Sadan
Kesihatan dan Perubatan

BACA: Lelaki Dakwa COVID-19 Hilang Lepas Keluar Berjoging Ketika Positif, Ini Respon Doktor

Sumber & kredit foto: Facebook Kamarul Ariffin Nor Sadan