Ratusan Gulungan Tisu Tandas Dirompak Gara-Gara Pembelian Panik Akibat Koronavirus

Rompak Gulungan Tisu Hong Kong Pembelian Panik
Sumber: ST

Penularan wabak koronavirus (Covid-19) membuatkan sebahagian penduduk dunia berada dalam keadaan panik sehingga mencetuskan pelbagai ‘malapetaka’ kerana masing-masing cuba menyelamatkan diri daripada jangkitan.

Seperti di Hong Kong, berpusu-pusu rakyatnya ke pasar raya untuk mendapatkan barangan penting antaranya tisu tandas, beras dan pasta dan produk pencuci. Imej dipaparkan di stesen televisyen tempatan menunjukkan orang ramai berlumba-lumba mengisi troli dengan timbunan tisu tandas sehingga ada yang bergaduh semata-mata untuk menjadi pembeli produk itu.

Sehingga beberapa pasar raya kehabisan tisu tandas dalam tempoh setengah jam. Pembelian panik ini semua berlaku apabila penduduk menerima laporan bahawa bekalan produk itu akan berkurangan susulan penularan wabak koronavirus yang berasal dari Wuhan, China.

Rompak Gulungan Tisu Hong Kong Pembelian Panik
Sumber: SCMP

Susulan daripada pembelian panik itu, tiga perompak bersenjata melarikan ratusan gulungan tisu tandas selepas bekalan produk itu berkurangan.

Menurut pihak berkuasa, kejadian berlaku pada awal pagi yang mana ketiga-tiga pelaku menahan sebuah lori di luar pasar raya dengan bersenjatakan pisau sebelum melarikan ratusan gulungan tisu tandas bernilai 1,000 dolar Hong Kong (kira-kira RM532).

Bagaimanapun, pihak kerajaan berkata bekalan untuk produk itu mencukupi walaupun bekalan di pasar raya menyusut. Kerajaan juga menasihati penduduknya agar tidak membeli dan menyimpan tisu tandas yang banyak kerana akan terdedah kepada ketumbuhan kulat.

Tanpa kita sedar, masyarakat kini lebih terdedah kepada risiko lebih besar iaitu untuk ‘dijangkiti’ wabak berita palsu yang begitu berleluasa di media sosial hingga menyebabkan berlakunya pembelian panik sebegini.

BACA: Covid-19: Sekotak Penutup Mulut Dan Hidung Di Indonesia Dijual Lebih Mahal Dari Harga Emas

Sumber: Straits Times, SCMP