
Rasa Sedih Bertukar Marah, Seruan Reformasi Bergema Selepas Insiden Letupan Beirut
Rasa sedih bertukar marah, seruan reformasi bergema di Lubnan.
Dunia digemparkan dengan kejadian letupan di gudang di kawasan Pelabuhan Beirut yang digunakan untuk menyimpan kira-kira 3,000 tan bahan kimia ammonia nitrat yang disita kira-kira jam enam petang waktu tempatan 4 Ogos (Selasa).
BACA: Gabenor Sifatkan Letupan Di Beirut Seperti Pengeboman Hiroshima Dan Nagasaki
Menurut pihak tentera, ammonia nitrat yang meletup itu digunakan sebagai baja pertanian dan disita di gudang sejak beberapa tahun lalu.
Namun, ada pihak yang tidak bertanggungjawab telah menyimpannya di pelabuhan yang terletak berdekatan kawasan perumahan dan pusat komersial.
Kejadian itu menyebabkan ibu kota Beirut musnah, dengan setakat ini sudah menyebabkan 149 orang penduduk terkorban dan ribuan cedera. Angka yang dikatakan akan terus meningkat dari masa ke semasa.
Kejadian ini disifatkan sebagai tragedi terburuk yang mengatasi serangan Israel pada tahun 2006. Malah ianya membawa kepada krisis ekonomi terburuk sejak perang saudara 1975-1990.
Susulan daripada kejadian letupan ini, barisan kepimpinan pentadbiran Lubnan dikecam hebat. Rasa sedih bertukar marah sehingga mereka didesak agar barisan kepimpinan melakukan reformasi, dimulakan oleh Presiden Perancis, Emmanuel Macron dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).
Dalam lawatan mengejut Emmanuel ke Beirut, beliau mengingatkan bahawa Lubnan kini dalam keadaan terdesak apabila memerlukan bantuan kewangan sehingga berbilion dolar bagi memulihkan semula keadaan.
Lubnan yang pernah menjadi tanah jajahan Perancis kini bergelut dengan kekacauan politik sejak Oktober lepas boleh menjadi lumpuh melainkan mereka melaksanakan pelan reformasi mustahak dan pembaharuan dalam beberapa minggu akan datang.
Beberapa pihak memberi pendapat sekiranya keadaan politik negara itu kukuh, tragedi letupan ini tidak akan berlaku.

Biarpun ditawarkan bantuan, Presiden Lubnan, Michel Aoun menolak sebarang siasatan pihak antarabangsa berkaitan letupan itu namun mengakui bahawa sistem politik di sana lumpuh dan perlu dibetulkan semula.
Berjanji akan mendapatkan keadilan segera, Michel menolak tuntutan pelbagai pihak yang menyuruh pasukan pakar bebas antarabangsa ditubuhkan bagi menyiasat tragedi hitam ini kerana melihatnya sebagai salah satu usaha untuk mencairkan kebenaran.
Infrastruktur awam seperti hospital terutamanya yang berada di timur Beirut dilaporkan mengalami kemusnahan teruk sehinggakan mangsa yang cedera dengan risiko tinggi terpaksa di bawa ke hospital luar dari Beirut.
Kos rawatan penduduk yang cedera disebabkan tragedi berkenaan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan. Usaha pencarian mangsa yang tertimbus di dalam runtuhan rumah dan bangunan akibat letupan berkenaan masih lagi diteruskan.
Sejak dari kejadian tersebut, media sosial dipenuhi dengan perkongsian rakaman dan gambar situasi kejadian, antaranya kepulan asap hitam tebal yang dapat dilihat sejauh kira-kira 10km dari lokasi kejadian.