Rantai Anti Virus Lawan Koronavirus

Rantai ‘Anti Virus’ Laku Keras Di Hong Kong Biarpun Sudah Diharamkan Penjualannya Di Asia

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Biarpun sudah diharamkan di Asia, rantai ‘anti virus’ keluaran sebuah syarikat di Jepun masih lagi banyak terjual di kedai-kedai Hong Kong.

Sudah diisytiharkan sebagai pandemik oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), rantai ‘anti virus’ ini dikatakan mampu menjalankan fungsi seakan tangkal; melindungi pemakainya daripada dijangkiti wabak koronavirus.

BACA: Saintis Tawar Ganjaran RM38,000 Kepada Individu Rela Dijangkiti Koronavirus

Dikenali dengan nama Toamit’s Virus Shut Out, rantai ini dikatakan sudah dibuktikan berkesan menyekat zarah dan bakteria udara serta pelbagai virus, wabak dan mengurangkan kemungkinan dijangkiti atau menjangkiti orang lain melalui eksperimen, sesuai untuk orang sakit, warga tua, kanak-kanak dan individu berimuniti rendah.

Dipakai seperti rantai di bahagian leher; dekat dengan hidung dan mulut, aksesori ini mengandungi klorin dioksida yang didakwa boleh mengelakkan jangkitan koronavirus.

Kenyataan ini kemudiannya disangkal oleh ahli virologi dan imunologi, Dr Ariane Davison yang menegaskan bahawa produk berkenaan adalah penipuan (complete scam) kerana tidak berfungsi sebagai alat perlindungan diri sebaliknya bahan klorin dioksida tersebut hanya akan menyebabkan individu yang memakainya mengalami kesukaran bernafas yang teruk, kulit terbakar serta terhakis.

Rantai Anti Virus Lawan Koronavirus 1
Sumber: HKFP

Sudah diharamkan di beberapa buah negara Asia antaranya Thailand dan Vietnam serta beberapa platform penjualan dalam talian seperti eBay dan Facebook, rantai ini masih dijual secara meluas di Hong Kong dengan harga sekitar RM55 sekeping.

Setakat ini, kes koronavirus yang dicatatkan di Hong Kong sudah mencecah 138 kes dengan angka kematian serta kritikal masing-masing seramai empat orang, 78 disahkan sembuh dan 56 kes masih lagi aktif.

China masih lagi mendahului dengan kes tercatat kini sudah melebihi 80,824 kes, manakala Itali, Iran dan Sepanyol mencatatkan peningkatan mendadak angka jangkitan baharu masing-masing dengan jumlah kes masing-masing sebanyak 3,497, 1,365 dan 1,081 serta kadar kematian masing-masing sebanyak 175, 97 dan 60 kes.

Berikutan dengan penularan yang berlaku dengan cepat dan mendadak ini, WHO menyarankan agar semua negara terutamanya Eropah untuk bersiap sedia dengan penularan berganda tanpa amaran.

BACA: Eropah Kini Pusat Penularan Koronavirus – WHO

Malah perhimpunan awam juga disarankan untuk ditangguhkan atau dibatalkan sebagai salah satu usaha mencegah kadar jangkitan wabak ini.

Sumber: HKFP