Ranking Antara Sekolah

Ranking Antara Sekolah: Perlukah Kementerian Pendidikan Hebahkan Kepada Umum?

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Dalam satu siaran di Facebook rasminya, Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA-UKM), Profesor Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali telah mengulas mengenai tindakan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang meletakkan prestasi ranking antara sekolah berdasarkan keputusan hasil analisis Sijil Pelajaran Malaysia 2021 baru-baru ini.

Menurut Dr Noor Azlan, KPM perlu menghentikan sistem penilaian berdasarkan kedudukan ranking sebagai pengukur prestasi antara sekolah.

“Ia serius mengelirukan dan menghantar isyarat yang salah kepada seluruh negara,” jelasnya yang turut menegaskan bahawa sistem tersebut merupakan satu kesalahan besar dan KPM sepatutnya fokus dalam tugas mendidik pelajar.

“Persekolahan bukan tentang peperiksaan,” tambahnya lagi.

“Semua murid adalah permata. Gilap setiap murid dengan didikan terbaik.

“Sebaiknya kita mesti lebih berbincang mengenai sekolah yang perlu dipertingkatkan kualiti pendidikan yang diberi. Berubahlah KPM,” tegas Dr Noor Azlan.

Ranking Antara Sekolah

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Untuk Malaysia, Zul Fikri Zamir turut berkongsi pendapatnya mengenai isu tersebut.

Menurut Zul Fikri yang bersetuju dengan pendapat Dr Noor Azlan, ranking sekolah sepatutnya menjadi simpanan KPM dan bukan untuk didedahkan secara umum dalam usaha mengurangkan jurang sekolah dan pelajar.

“Kita semua faham bahawa ranking ini perlu oleh KPM, tetapi ia hanya untuk pentadbiran. Ia bukan untuk dipertontonkan. Maksudnya ia bukan untuk diumumkan ketika pengumuman analisis peperiksaan,” jelasnya kepada Astro AWANI.

“Misalnya, KPM simpan sendirilah. (Biar) Hanya KPM atau Lembaga Pengarah sahaja yang tahu sebab kita tidak mahu hantar signal yang berbeza ibu bapa dan anak-anak,” tambahnya lagi.

Mengulas lebih lanjut, Zul Fikri berkata cadangan itu juga selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) yang sudah memasuki fasa akhir pelaksanaan.

“Kita faham ibu bapa muda sekarang ini yang anaknya Tahun 1 atau 6 yang dalam masa lima tahun lagi akan mengambil SPM. Ketika dunia sudah berubah, orang tidak lagi berebut-rebut untuk bekerja menjadi doktor atau peguam sahaja. Ada banyak pekerjaan lain lagi.

“Kita tidak mahu hantar signal yang berbeza, kita tidak mahu nanti ada ibu bapa yang rasa nak hantar anak dia ke Sekolah Tun Fatimah sahaja misalnya, sedangkan sepatutnya menurut pelan pembangunan pendidikan kita, semua sekolah itu harus setara,” ujar Zul Fikri.

Ranking Antara Sekolah

BACA: Wajarkah Pelajar Cemerlang Diraikan? Adakah Ini Akan Beri Kesan Buruk Pada Pelajar Yang Lain?

Sumber: Sinar Harian, astro AWANI