
‘Ramai Terkena Rupanya’ – AJK Didakwa Halau Jemaah Dari Solat Dalam Masjid Sebab Tak Bawa Sejadah Sendiri
Sejak negara beralih ke Fasa Peralihan Endemik pada 1 April lalu, pelbagai kelonggaran SOP diberikan kerajaan.
Antara kebebasan itu ialah aktiviti solat berjemaah di masjid dan surau boleh dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal.
Contoh yang boleh dilihat yang mana solat sunat Aidilfitri lalu berlangsung dengan penuh meriah tanpa mengira status vaksinasi.
Walaupun keadaan dilihat kembali normal, namun tular baru-baru ini rungutan seorang individu yang mendakwa dihalau dari sebuah masjid dan terpaksa menunaikan solat di ruangan luar hanya disebabkan tidak membawa sejadah sendiri.
“Terima kasih halau kami solat di luar sana. Semoga Allah berikan kesembuhan penyakit pakcik yang ahli syurga tu sekian,” tulisnya yang memuat naik hantaran di Group SEGAMAT menerusi media sosial Facebook.
Hantaran yang turut memuat naik gambar sebuah masjid yang dipercayai berlaku situasi itu menjadi perhatian orang ramai.
Melihat pada ruangan komen, difahamkan pengalaman serupa juga berlaku kepada penduduk sekitar serta mereka yang pernah singgah di masjid berkenaan.
Beberapa netizen meluahkan pernah dihalau oleh AJK Masjid atas alasan seperti tidak memakai pelitup muka, terlupa bawa sejadah peribadi malahan kanak-kanak turut dilarang masuk.
“Hari itu sembahyang di sini ada dua tiga orang lupa bawa telekung. Buka almari kena ‘sound’ dengan makcik di masjid itu. Sombong betul.”
Seorang pengguna turut berkongsi pengalaman pernah diminta keluar dari masjid tersebut yang mana ketika itu singgah sebentar untuk menunaikan solat kerana terlupa membawa sejadah.
Menurut netizen, perkara itu sepatutnya boleh dipermudahkan, namun apa yang berlaku adalah sebaliknya.
Ada juga yang berkongsi pengalaman menerima nasib yang sama namun mengakui kesalahan sendiri. Tetapi dalam keadaan begitu, seharusnya pihak AJK Masjid menyediakan kemudahan bagi para jemaah yang datang dari pelbagai tempat.
“Sayang sebab masjid ini antara yang cantik dalam Segamat tapi pengurusan macam ni. Yang musafir bawa anak kecil pun disusahkan. Yang kesian dua tiga orang AJK buat hal, tapi semua AJK terpalit.”
Dalam pada itu, ada juga yang tampil berkongsi pengalaman berbeza dan tidak berdepan sebarang masalah dengan pelaksanaan SOP di masjid itu.
Sumber: Facebook SEGAMAT