Silibus Darjah 1

Ramai Terkejut Tengok Silibus Budak Darjah 1, Ustazah Sendiri Pun ‘Surrender’

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Selain dari silibus mata pelajaran Matematik yang dikecam hebat selama ini, ibu bapa kini turut menyedari bahawa silibus pengajian al-Quran dan Tajwid Darjah 1 pada hari ini juga sebenarnya terlalu berat untuk anak-anak mereka.

Seorang bekas pengajar di Sekolah Menengah Islam & Maahad Tahfiz Al Quran Hira’ Jeram, Ustazah Asmah Chem melahirkan rasa bimbang selepas melihat sendiri tangkap layar yang kini tular dikongsikan di media sosial.

Kenapa agaknya beliau sendiri terkejut dan mengakui bahawa ianya tidak masuk akal kerana terlalu berat untuk anak-anak pada hari ini? Ikuti pendapat yang dikongsikannya melalui hantaran di Facebooknya berikut:

Silibus Darjah 1

Saya terkejut melihat silibus tilawah al-Quran pelajar darjah 1 yang dikongsi di FB Dr Zaharuddin Abd Rahman. Gambar tersebut saya share di bawah.

Sekiranya benar silibus tilawah darjah 1 sebegitu, saya surrender. Dahsyatnya!

Umur 7 tahun Nabi saw suruh ajar anak solat fardhu. Maknanya perkara asas, diperkenalkan pada usia 7 tahun. Usia 7 tahun adalah usia mumayyiz. Pada usia ini anak-anak kritis dan cerdas tetapi mereka masih dalam fasa belajar sambil bermain.

Anak-anak pada usia ini tidak suka kepada perkara yang berat kerana mereka mudah bosan. Mereka selayaknya diperkenalkan dengan asas al-Quran melalui pelbagai kaedah yang menyeronokkan. Tanamkan rasa seronok dalam subjek tilawah agar mereka cinta kepada al-Quran. Cukup dengan iqra, pengenalan makhraj dan panjang pendek. Bukan dengan membebankan mereka dengan hukum tajwid peringkat tinggi yang sukar difahami.

Seingat saya dulu, darjah 4 baru saya mula belajar tajwid. Sebelum usia 10 tahun, saya cuma belajar membaca al-Quran dengan lancar saja. Bukan bermakna lambat belajar tajwid, saya lemah dalam tilawah al-Quran.

Darjah 6 saya sudah mewakili daerah untuk pertandingan tilawah al-Quran, begitu juga di peringkat sekolah menengah, pernah dipilih mewakili sekolah dalam musabaqah/tilawah setiap tahun, sehingga tingkatan 5. Beberapa kali menang di peringkat zon dan pernah mendapat naib johan peringkat negeri. Itu kisah sekolah.

Di IPT, saya pernah menjadi hakim jemputan untuk beberapa program tilawah peringkat Universiti. Selain itu, pernah membuka kelas pengajian talaqi bersanad untuk pelajar dan pensyarah di IPT.

Untuk apa saya sebut sedikit pencapaian tersebut? Supaya saya tidak dipandang sinis apabila memberi pendapat bahawa silibus pengajian al-Quran dan tajwid darjah 1 sekarang adalah tidak masuk akal.

Saya tertanya-tanya siapakah penggubal silibus tersebut kerana begitu luar biasa pendekatannya. Mungkin juga mereka terdiri dari golongan hafiz dan hafizoh yang sangat hebat. Tetapi sayang sekali, kehebatan mereka boleh membunuh minat anak-anak terhadap al-Quran.

Jangan sampai suatu hari nanti, anak-anak kita merasakan bahawa pengajian al-Quran adalah sesuatu yang sangat membebankan. Akhirnya, apa yang dikejar tak dapat, malah yang dikendong pula berciciran. Fikir-fikirkanlah.

BACA: Sistem Pendidikan Kini Menyusahkan Otak Murid Sekolah Rendah, Penggubal Silibus Nak Apa?

Sumber: Asmah Chem