
Ramai Kanak-Kanak Masih Tidak Tahu Membaca Kesan Dari Tercicir Semasa Pandemik
Mungkin ramai yang tidak sedar, kesan dari proses pembelajaran di dalam kelas yang sering terganggu semasa pandemik, ramai kanak-kanak kini mengalami masalah belajar.
Kanak-kanak berusia 7 tahun misalnya, didapati masih ramai lagi yang belum pandai membaca, mengeja dan menulis walaupun mereka sebenarnya normal dan sihat.
Perkara ini dibangkitkan oleh Dr Redza Zainol melalui hantaran yang dibuat di Facebooknya berikut:
“Apa yang puan paling risau pasal anak?”
“Saya risau dia belum pandai membaca, belum pandai menulis dan belum pandai mengeja.”
Tulisan dia bercampur huruf besar dengan huruf kecil. Siap tulis terbalik huruf tu. Lepas tu, tulisan dia besar-besar sampai tak muat dalam ruangan yang patut dia tulis.
Apa yang dilaungkan oleh cikgu Mohd Fadli Salleh ni memang saya sendiri rasakan.
Kes kanak-kanak umur 7 tahun yang belum pandai membaca, mengeja dan menulis ni makin kerap saya jumpa di klinik perkembangan kanak-kanak.
Dia tak ada tanda-tanda autism. Saringan M-Chat (untuk autism) pun lulus.
Saya buat ujian IQ, juga normal. Maknanya budak ni boleh belajar.
Cuma, masa bercakap kadang-kadang nampak tak fokus. Kemahiran motor halus pun lemah. Ibunya mengadu anaknya tak pandai sikat rambut dan butangkan baju sendiri.
Perkembangan cuma setara dengan kanak-kanak usia 5-6 tahun tapi dah kena masuk darjah 1.
Bila masuk darjah 1, dia tak mampu ikut silibus dalam kelas. Tak faham macam mana nak buat kerja rumah. Kadang-kadang, tak faham pun arahan cikgu.
Nak uruskan diri sendiri pun terkial-kial lagi.
Jumlah kanak kanak ni ramai sebab kalau ambil tarikh temujanji di klinik hari ni, hanya boleh jumpa doktor lagi 6 bulan untuk penilaian. Senarai menunggu yang sangat panjang.
Kalaulah kanak-kanak darjah 1 ni boleh masuk dalam 1 program nasional. Fokuskan hanya pada kemahiran:
– mengenal huruf dan membaca
– mengenal nombor dan mengira
– melatih otot halus yang kemudiannya akan membantu anak untuk menulis
– belajar ilmu pengurusan diri sendiri yang asas
Cuba buat dulu dalam masa 3-6 bulan.
2 tahun pandemik, inilah antara kesannya pada anak kita.
Bayangkan, masuk tadika sekejap-sekejap masa umur 5 tahun. Lepas tu disambung dengan kelas tadika online. Ada anak yang boleh terima belajar begitu, tapi ada juga yang tercicir.
Yang tercicir tu saya tak sanggup nak kata dia itu dan ini sedangkan IQ normal, sihat dan boleh belajar. Cuma anak-anak ni perlu lebih bimbingan dengan silibus yang lebih rendah.
BACA: Sistem Pendidikan Kini Menyusahkan Otak Murid Sekolah Rendah, Penggubal Silibus Nak Apa?
Sumber: Redza Zainol