Kamarul Ariffin Nor Sadan

Ramai Ibu Bapa Tak Tahu, Kanak-Kanak Boleh Lemas Dalam Takungan Air Walaupun Sedalam 1 Inci

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Telah banyak dilaporkan sebelum ini di dalam akhbar dan tular di media sosial tentang kematian kanak-kanak yang lemas di dalam bilik air.

Agak menyedihkan kerana tragedi yang melibatkan nyawa kanak-kanak ini masih dapat dielakkan sekiranya ibu bapa sentiasa berwaspada dan lebih berhati-hati.

Sesungguhnya, malang tidak berbau dan manusia tidak mampu melawan qada dan qadar serta ketentuan Ilahi.

Ada hikmah di sebalik setiap kejadian dan semoga apa yang terjadi dapat dijadikan pengajaran untuk semua ibu bapa yang lain.

Atas dasar tanggung jawab sosial, orang ramai juga perlu sama-sama memperingati dan berkongsi ilmu agar kejadian seperti ini dapat dielakkan di masa hadapan.

Justeru itu, Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan melalui laman Facebooknya telah membuat satu perkongsian yang amat berguna untuk kita semua.

Semoga para ibu bapa kini lebih sedar akan bahaya dan risiko yang melibatkan kanak-kanak ketika berada di dalam bilik air.

Kamarul Ariffin Nor Sadan

Ibu bapa kena tahu hal ini. Kanak-kanak boleh lemas di dalam air walaupun kedalamannya hanya 1 inci atau kurang daripada 2.5 sentimeter.

Ada beberapa perkara kita perlu pastikan untuk elak risiko anak lemas di dalam bilik air, antaranya:

1) Elak Tinggal Anak Mandi Sendirian

Jangan tinggalkan anak mandi sendirian di dalam besen, baldi, tab mandi atau kolam berisi air walaupun untuk seketika. Jika keluar dari bilik air, bawa anak sekali.

2) Terdapat Risiko Tergelincir

Selain lemas, kanak-kanak yang bermain di bilik air sendirian mudah tergelincir dan tersungkur kerana permukaan lantai licin. Terutamanya pada yang baru belajar berjalan.

3) Simpan Bekas Takungan Air

Kosongkan dan simpan bekas takungan air di tempat yang sesuai selepas menggunakannya supaya anak tidak ambil dan mengisikannya dengan air tanpa pengawasan.

4) Tutup Bekas Takungan Air

Ada bilik air mempunyai binaan takungan air yang kekal seperti kolah. Jika tidak boleh kosongkan, maka tutuplah ia. Mangkuk tandas jenis duduk pun elok ditutup.

5) Tutup Pintu Bilik Air

Jika tak boleh kosongkan, dan tak boleh tutup bekas takung air. Maka tutuplah pintu bilik air jika tiada sesiapa menggunakannya. Ini untuk elak anak masuk tanpa kita sedar.

Semoga bermanfaat! Nanti kita belajar sikit tentang CPR untuk bayi pula, ya?

Dr. Kamarul Ariffin Nor Sadan
Kesihatan dan Perubatan

p/s: tak perlu kecam ibubapa kanak-kanak ni.

Sumber & kredit foto: Kamarul Ariffin Nor Sadan