
Ramai Ibu Bapa Sanggup Tipu Maklumat Diri Pelajar Untuk ‘Sapu Semua’ Bantuan Kerajaan
Seorang individu mendedahkan terdapat segelintir ibu bapa bekerja sendiri yang berbohong tentang maklumat diri berkaitan jumlah pendapatan mereka yang sebenar.
Tindakan mereka sanggup memanipulasikan maklumat pendapatan tersebut hanyalah semata-mata demi mendapatkan bantuan kerajaan secara optimum bagi keperluan anak mereka di sekolah.
Perkongsian individu tersebut yang dibuat baru-baru ini di laman Facebooknya itu telah mendapat perhatian portal mStar.
Menurut laporan portal tersebut, mereka yang bekerja sendiri atau secara umumnya ‘tiada slip gaji’ lebih cenderung untuk memanipulasikan maklumat pendapatan.
Ada yang sewenang-wenangnya ‘declare’ pendapatan bulanan sekitar RM700 hingga RM1,500 sahaja walaupun pada hakikatnya mereka hidup mewah.
Apabila perkiraan dibuat oleh guru, anaknya didapati layak untuk menerima semua bantuan kerajaan antaranya rancangan makanan tambahan (RMT); Bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAMP); bantuan RM100 setiap anak dan sebagainya.
“Tapi apabila pergi ke rumah, rupanya ada kereta mewah. Ada pula kereta kedua malah ketiga… motosikal pula dua tiga buah. Rumah milik sendiri yang agak besar juga.
“Duit poket anak pun mampu beri hingga RM5 sehari. Masya-Allah, tidak ada sedikit rasa bersalahkah dalam hati mereka-mereka ini? Menipu pendapatan untuk sedikit bantuan dan mengambil benda yang bukan hak kita,” luahnya.
“Makan benda yang bukan hak ini memberi kesan. Tidak hairanlah bila belajar anak susah faham dan hidup tidak berkat walau dikelilingi duit yang banyak… itu belum dikira pembalasan di hari akhirat,” jelasnya lagi yang mempersoalkan tentang status halal makanan sekiranya mengambil hak murid yang betul-betul memerlukan dalam Rancangan Makanan Tambahan (RMT).
“Usah tamak bantuan yang sedikit, usah gelojoh dengan peluang yang bukan milik kita. Tidak berbaloi hanya kerana sedikit bantuan yang kita peroleh secara haram, kesannya besar pada anak-anak dan keberkatan hidup sepanjang zaman,” tambahnya lagi.
Portal tersebut turut memetik peringatan dari Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, yang menerangkan ayat 188 daripada Surah al-Baqarah yang bermaksud “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).”
Sumber: mStar