
Rakyat Malaysia Terkandas Di Myanmar, Dipaksa Jadi Scammer Selepas Ditipu Ejen Cari Kerja
Hasrat beberapa rakyat Malaysia mencari pekerjaan elok di luar negara bukan sahaja tidak kesampaian, malahan dipaksa menjadi ‘scammer operator’.
Menurut Utusan, mereka dipercayai terkandas secara haram di Myanmar selepas ditipu ejen pencari pekerjaan di negara tersebut sejak Januari lalu.
Perkara itu dikongsikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Kulim, Yeo Keng Chuan kepada media.
Menurut Keng Chuan, dia menerima maklumat tersebut dari seorang lelaki Lim Sew Siam, 53 yang memohon bantuan kerajaan untuk membawa pulang anak lelakinya yang merupakan mangsa penipuan tersebut.
Dibawa masuk melalui jalan tikus
Mangsa mengatakan anaknya sebelum ini telah memohon untuk bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan sebuah syarikat di negara itu.
Namun dia sama sekali tidak menyangka akan ditipu sebaik tiba di sana apabila pekerjaan yang dijanjikan tidak wujud. Lebih memburukkan keadaan apabila dia dibawa masuk ke negara berkenaan menggunakan lorong tikus.
“Anak lelakinya kemudian mendapat pekerjaan terbabit dan ejen pencari pekerjaan tersebut selepas itu mengarahkan anak lelakinya itu ke Kuantan, Pahang pada 2 Januari untuk berkumpul bersama pekerja lain sebelum bertolak ke Myanmar.
“Syarikat terbabit membawa anak lelakinya itu bersama tujuh lagi lelaki ke Myanmar melalui lorong tikus di antara Malaysia, Thailand dan Myanmar,” katanya dalam satu kenyataan.
Dipaksa jadi scammer
Lebih mengejutkan apabila anaknya memberitahu dia bukan bekerja sebagai pengawal keselamatan seperti dijanjikan, sebaliknya sebagai ‘scammer operator’ secara dalam talian dengan menggunakan komputer.
Mangsa memaklumkan dia tidak diberikan makanan dan masa tidur yang mencukupi, malah pergerakan mangsa juga dikawal oleh beberapa individu.
Mangsa mengatakan ingin berhenti kerja dan pulang ke Malaysia, namun diugut dikenakan bayaran kira-kira RM40,000 jika ingin berbuat demikian.
Sehubungan itu, ibu mangsa telah bertindak membuat aduan di pejabat ADUN Kulim bagi mendapatkan bantuan kerajaan dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi anaknya itu.
“Saya sudah menghantar surat memohon bantuan daripada Kementerian Luar Negeri untuk menyelamatkan mangsa bersama beberapa rakyat Malaysia lagi yang terkandas dan tertipu dengan sindiket pekerjaan di Myanmar,” katanya lagi.
Sumber: Utusan