Rakyat Malaysia Terkandas Di China Mahu Pulang Susulan Wabak Koronavirus

Rakyat Malaysia Terkandas Di China Mahu Pulang
Sumber: Nasdaq

Dalam kemelut yang melanda dunia ketika ini, kerajaan Malaysia telah menggantung sementara semua kemudahan imigresen kepada rakyat China dari Bandar Wuhan dan Wilayah Hubei di kelilingnya.

Seorang rakyat Malaysia yang tinggal di Hubei mahu pulang tetapi tidak pasti caranya kerana semua jalan pengangkutan keluar masuk disekat dalam usaha mengekang wabak koronavirus, menurut portal New Straits Times.

Wanita yang hanya ingin dikenali sebagai Ima, 28, yang berasal dari Johor Bahru berkata mahu pulang ke Xiangyang, Hubei pada 21 Januari lalu bersama suaminya untuk menyambut Tahun Baharu China bersama keluarga mentuanya dan kini tidak pasti bagaimana nasib dia bersama suaminya yang kini terperangkap di wilayah itu.

Menurut sumber, mereka sepatutnya pulang ke Malaysia pada 8 Februari ini namun dengan keadaan semasa yang menyaksikan Hubei dikenakan sekatan, tidak dapat dipastikan sama ada perjalanan pulang itu akan berlaku seperti dirancang ekoran perintah kuarantin oleh pihak berkuasa China.

Dalam pada itu, Ima dan suami secara berterusan memeriksa suhu badan bagi memastikan dapat bertindak serta-merta jika ada sebarang simptom virus itu dikesan.

Sementara itu, seorang bapa merayu kepada Kerajaan Malaysia untuk membawa pulang anaknya, Nurul Atikah Adanan yang kini menuntut di Universiti Shandong. Bapanya berkata, anaknya kini terkandas di Jinan, Shandong selepas usaha untuk mencari penerbangan keluar dari wilayah itu menjadi buntu susulan tindakan beberapa syarikat penerbangan yang menyekat pelancong dari China.

Rakyat Malaysia Terkandas Di China Mahu Pulang
Sumber: MalaysiaGazette

Anaknya juga memaklumkan untuk bergerak ke Beijing pada masa ini adalah berisiko, tetapi untuk terus tinggal di Jinan ketika ini juga rasa terancam. Di Jinan, kes kematian akibat koronavirus meningkat kepada 12 kes.

Susulan wabak koronavirus yang semakin mengganas, China telah menangguhkan permulaan semester musim bunga untuk sekolah dan universiti di seluruh negara dan akan dibuka semula secara berperingkat.

Sumber: Malaysia Kini, MalaysiaGazette