Awan Wafdan

“Rakyat Malaysia Sendiri Tidak Gunakan Bahasa Melayu”, Komen-Komen Netizen Indonesia Ini Bikin Panas

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Seorang penulis karya fiksyen dan fantasi tempatan, Awan Wafdan telah memuat naik satu tangkap layar yang diperolehinya dari Twitter.

Dalam tangkap layar tersebut, Nuice Media yang berpusat di Indonesia telah mengirim satu ciapan bersama foto yang mempertikaikan usaha Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi kedua ASEAN.

“Kepada rakyat Malaysia, kami di Indonesia bukan Melayu. Kami boleh terima cadangan tersebut jika Bahasa Melayu digantikan dengan Bahasa Indonesia. Jika tidak, ummm, tak payahlah.

“Anda semua pun banyak tonton filem-filem, sinetron dan dengar lagu-lagu kami. Kami hanya tonton Upin Ipin”, bunyi ciapan tersebut.

Hantaran ciapan dalam Bahasa Inggeris tersebut setakat ini telah diulang kicau lebih 2 ribu kali dan disukai lebih 5 ribu orang lagi pengguna Twitter.

Komen-komen yang dilontarkan oleh netizen dari Indonesia juga ‘memanaskan’ lagi situasi apabila ramai di antara mereka menganggap rakyat Malaysia sendiri tidak menghargai Bahasa Melayu.

“Mereka lebih utamakan Bahasa Inggeris dari Bahasa Melayu sendiri”, “Mereka iri hati dengan Indonesia yang rakyatnya mencintai bahasa kebangsaan sendiri”, demikian petikan beberapa komen yang diperolehi dari beberapa orang pengguna Twitter dari Indonesia.

Di laman Facebooknya, Awan Wafdan, penulis Hikayat Adiwangsa: Lasykar yang diterbitkan oleh Patriots Publishing melahirkan rasa malu dan duka cita kerana Bahasa Melayu diperlekehkan sedemikian rupa.

Beliau yang memuat naik tangkap layar dari Twitter tersebut juga menyeru orang ramai agar lebih menghargai keindahan bahasa kebangsaan sambil mempromosikan karya sulungnya tersebut.

Jom sama-sama support karya tempatan demi memartabatkan lagi Bahasa Melayu!

Awan Wafdan

Di ruang komen Twitter ini, ada beberapa orang Indo yang menghina Malaysia sebab ramai rakyat Malaysia yang tidak menggunakan Bahasa Melayu.

Aku malu.

Situasi inilah yang menguatkan semangat aku untuk terus menulis Adiwangsa seindah yang mungkin guna bahasa kebangsaan.

Dek kerana itulah, Hikayat Adiwangsa itu digarap dengan kosa kata sedikit langka. Disusun ayatnya serasa indah, tetapi pada masa yang sama tidak terlalu meninggikan arasnya.

Jadi, apabila sudah banyak komen yang puji penggunaan bahasa — aku jadi bangga.

“You did it, Awan!”

Ketika menulis Hikayat Adiwangsa: Lasykar, aku sangat teliti dengan gaya bahasa yang digunakan. Bahkan sanggup tidak beranjak dari ayat yang ditulis selagi belum jumpa susunan ayat yang sesuai.

Diksi dan ayatnya dipilih berhati-hati agar terasa indah ketika dibaca.

Sejujurnya, aras bahasa dalam Adiwangsa masih agak rendah (bagi aku). Aku boleh puitiskan lagi. Tapi sebab nak ramai baca, maka aku pilih aku bumikan sedikit bahasanya.

Sudilah beli karya sulung saya ini.

Boleh beli Shoppee atau laman sesawang The Patriots.

Awan Wafdan

Sumber & kredit foto: Facebook Awan Wafdan