
Rakyat Malaysia Dalang Penjualan Organ Dalam Pasaran Gelap Antarabangsa
Rakyat Malaysia dalang penjualan organ dalam pasaran gelap antarabangsa.
Minggu lalu, wartawan media The Sun di United Kingdom membongkar sindiket penjualan buah pinggang yang mana didalangi oleh rakyat Malaysia dengan pakej pelancongan transplan berjumlah £85,000 (RM466,440) secara haram khas untuk warga Britain.
BACA: Pelarian Syria Nekad Jual Buah Pinggang Demi Beli Khemah Teduhan Lapan Anak
Wartawan The Sun yang menyamar sebagai ‘penjual’ telah berjumpa dengan suspek berusia 46 tahun di sebuah hotel di Kuching, Sarawak.
Beliau yang dikenali sebagai Shaifullizan Abdul Mutalib menjadi dalang penjualan 45 buah pinggang secara haram dengan menggunakan medium Facebook sebagai platform untuk medapatkan mangsa yang miskin dari seluruh dunia untuk menjual organ mereka kepada pesakit yang terdekat.

Bayaran termasuk rasuah dilakukan supaya pembedahan pemindahan organ boleh dilakukan di sebuah klinik di Manila, Filipina.
Dalam tempoh urusan ‘penjualan’ dilakukan, Shaifullizan yang tidak mempunyai pengalaman perubatan itu mendedahkan kepada wartawan bahawa beliau mempunyai lebih daripada 100 penjual buah pinggang berpotensi di seluruh dunia dalam rekod bukunya yang diperoleh melalui Facebook dan sudah dihubungi sekurang-kurangnya lima warga Britain yang menawarkan untuk menjual organ mereka melalui platform media sosial tersebut.

Aktiviti yang berjaya dirakam menggunakan kamera tersembunyi itu turut mendedahkan bahawa penjualan organ turut mengambil organ daripada kumpulan minoriti Muslim Uighur di China. Dalam video tersebut, Shaifullizan yang merupakan rakyat Malaysia berjaya dirakam wajahnya dengan jelas memberitahu bahawa di Manila, wang tunai adalah raja.

Shaifullizan yang sudah menjalankan kegiatan tersebut sejak 2010 kemudiannya diburu Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak dan ditahan selepas beliau menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching pada tengah hari 13 Ogos selepas menyedari beliau diburu polis.
Bapa empat anak itu kemudiannya ditahan reman bermula 14 Ogos hingga 20 Ogos depan bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 15 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran.