
Rakyat Malaysia Antara Yang Didakwa Godam Ratusan Syarikat, Organisasi Seluruh Dunia
Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat mengumumkan pendakwaan terhadap tujuh individu termasuk dua rakyat Malaysia kerana melakukan operasi penggodaman antarabangsa terhadap ratusan syarikat dan organisasi di seluruh dunia.
Menurut dokumen mahkamah, dua suspek itu yang merupakan ahli perniagaan ditahan di Malaysia pada Isnin dan DoJ telah memohon proses ekstradisi, sementara tertuduh warga China masih bebas.
Mereka ini dikenal pasti mencuri identiti serta teknologi permainan, menuntut wang tebusan selain mengintip aktivis Hong Kong.
Kedua rakyat Malaysia dipercayai bekerjasama dengan lima penggodam itu untuk mencuri dan menyeleweng wang menerusi industri permainan video.
Mereka menggodam ratusan komputer syarikat dan organisasi di seluruh dunia untuk mengumpul identiti, menggodam sistem sebelum menuntut wang tebusan, dan menggunakan komputer dari jarak jauh bagi mengumpul wang kripto seperti Bitcoin.
Antara taktik termasuk mencuri barang dalam permainan video (in-game) menerusi penggodaman yang kemudian dijual menerusi pasaran gelap.
Ketujuh-tujuh mereka digelar sebagai pakar siber sebagai ‘APT41’ berdasarkan teknik dan peralatan yang digunakan mereka.
NYTimes melaporkan penggodam menyasarkan syarikat teknologi dan media sosial, universiti, agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan, menurut pendakwaan.
Dalam pada itu, pendakwaan DOJ terhadap individu berkenaan tidak menunjukkan kaitan jelas antara mereka dengan Kerajaan China.
Bagaimanapun, berdasarkan kertas pendakwaan, Jiang Lizhi, salah seorang daripada individu terbabit pernah memberitahu rakannya bahawa dia dilindungi oleh Kementerian Keselamatan Dalam Negeri China, jika tidak melakukan penggodaman di China.
“Ada antara mereka yang percaya kaitan dengan Kerajaan China memberikan mereka lesen untuk menggodam dan mencuri di seluruh dunia,” kata pendakwa raya.
Namun, dakwaan itu tidak memperincikan sebarang motif politik di sebalik aktiviti penggodaman itu. Bagaimanapun mereka dipercayai mendapat akses sistem komputer kerajaan di India dan Vietnam.
Lima warga China itu masih bebas tetapi dua rakyat Malaysia itu sudah ditahan di negaranya pada Isnin.
Ketika ini, AS berusaha untuk mengekstradisi mereka ke negara ini untuk proses pendakwaan.
BACA: Syarikat China Berkaitan Tentera Dilapor Simpan Data 1,400 Rakyat Malaysia