Rakyat Tanam Sayur Ternak Ayam

Rakyat Disaran Tanam Sayur, Ternak Kambing, Lembu, Kerbau Dan Ayam Untuk Kegunaan Sendiri

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

“Sayur-sayuran boleh ditanam manakala kambing, lembu, kerbau dan ayam boleh diternak untuk kegunaan sendiri serta boleh dijual sekiranya bekalan itu berlebihan,” demikian ujar Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad kepada seluruh rakyat negeri Perak.

Portal Majoriti yang memetik dari sumber BERNAMA melaporkan, kerajaan Perak menyarankan rakyatnya untuk mengusahakan tanaman sayur dan ternakan haiwan sendiri susulan kekurangan makanan yang dihadapi ketika ini.

Rakyat Tanam Sayur Ternak Ayam

Menteri Besar Perak turut menjelaskan bahawa langkah itu adalah merupakan antara inisiatif bagi mengurangkan bebanan kos sara hidup rakyat yang terkesan akibat kenaikan harga beberapa produk pertanian dan penternakan ketika ini.

Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) dengan kerjasama Jabatan Pertanian Negeri Perak turut akan membangunkan Projek Taman Agroteknologi Manong di Kuala Kangsar tidak lama lagi.

Projek yang akan dimajukan di atas kawasan tanah seluas 40 hektar tersebut telah diluluskan pada Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah perbadanan itu pada April lepas bagi memperkasakan lagi bidang sekuriti makanan di negeri Perak.

“SADC juga telah memulakan projek Hab Halal Perak bagi mengukuhkan lagi bidang sekuriti makanan. Malah ia dilihat mampu menyediakan peluang pekerjaan sekali gus membantu kerajaan negeri dalam meningkatkan penjanaan ekonomi rakyat,” ujar Datuk Seri Saarani Mohamad.

Beliau turut menegaskan bahawa rakyat perlu tanam dan ternak sendiri untuk makan tanpa terlalu mengharapkan bekalan dari pihak lain.

“Sebab itu saya kempen di merata tempat supaya apa yang kita hendak makan, kita tanam dan ternak sendiri supaya kita tidak terlalu bergantung kepada bekalan dari luar,” tegas beliau lagi.

BACA: Nak Bina Ladang Ternakan Ayam? Ini Isunya Yang Anda Perlu Pertimbangkan Dulu

Sumber: Majoriti