Raja Bomoh Pagar COVID-19

Raja Bomoh Kembali, Buat Ritual ‘Pagar’ Malaysia Daripada COVID-19

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Tidak sangka dalam kegawatan yang melanda dunia ketika ini iaitu penularan pandemik COVID-19, Raja Bomoh muncul kembali dengan mendakwa sudah ‘memagar’ seluruh dunia daripada virus tersebut.

Raja Bomoh atau nama sebenarnya Ibrahim Mat Zin yang menyepi hampir dua tahun kini tular di media sosial sejak semalam (Khamis) apabila mendakwa dihubungi bomoh dari seluruh dunia yang meminta bantuannya untuk menghentikan COVID-19 menerusi sebuah video di saluran Youtube.

Menerusi video tersebut, Raja Bomoh itu tetap tidak meninggalkan teropongnya untuk ritual perubatan kali ini. Teropong yang digunakan didakwa dari keturunan moyangnya, meneropong glob dan membuat ritualnya dengan beras kunyit dan padi burung bersama daun pandan.

Dia mendakwa upacara itu akan mewujudkan perisai di sekitar Malaysia dan akan melindungi negara daripada penyakit itu. Malah, turut berdoa untuk rakyat Malaysia yang tersekat di negara luar dan juga memberi petua pencegahan untuk melindungi diri daripada COVID-19.

Raja Bomoh turut menyeru orang ramai untuk mematuhi arahan Perdana Menteri supaya duduk diam di rumah demi keselamatan semua.

Sebelum ini, Ibrahim Mat Zin beberapa kali mengejutkan orang ramai dengan ritual bomoh yang dilakukan bersama-sama para pengikutnya seperti membawa buluh kecil sebagai teropong, dua biji kelapa dan lima merima buluh di beberapa lokasi bagi tujuan termasuk ‘melindungi’ Malaysia daripada serangan nuklear Korea Utara.

Raja Bomoh Pagar COVID-19

Pada 2017, Ibrahim Mat Zin diperintahkan berkelakuan baik selama enam bulan oleh Mahkamah Tinggi Syariah selepas mengaku salah menghina kesucian agama Islam.

Kesalahan itu adalah berhubung amalan ritual untuk menurunkan hujan bagi meredakan panas kesan fenomena El Nino di tapak bekas rumah pangsa Jalan Pekeliling, di sini, pada 21 Mac 2016.

https://www.youtube.com/watch?v=9Cwu0j9mRXg