
Putrajaya: Penduduknya Berpendapatan Tinggi Tapi Banyak Masalah Bantut Dan Obesiti?
“Ada sesuatu yang tidak betul kenapa Putrajaya dikenali antara yang mempunyai pendapatan tinggi di Malaysia tetapi berhadapan masalah bantut dan obesiti,” demikian penjelasan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar (KJ) melalui satu laporan yang diterbitkan di KOSMO! ONLINE.
KJ berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu bantut di Putrajaya yang menurutnya memerlukan kajian yang mendalam bagi mengenalpasti faktor sebenar.
“Pelbagai faktor lain mempengaruhi kadar bantut seperti kadar celik kesihatan, persekitaran, budaya kerja dan akses kepada penjagaan kanak-kanak,” jelas KJ.
Pada sidang akhbar bersempena pelancaran Program Media #AnakMalaysiaSihat di pejabatnya, KJ turut menjelaskan bahawa harga susu formula dan makanan protein menjadi antara perkara penting yang akan diberi tumpuan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) bagi menjayakan usaha mengatasi masalah bantut dalam kalangan kanak-kanak Malaysia.
Menurut KJ lagi, masalah bantut tidak boleh dipandang ringan kerana ia bukan sahaja memberi cabaran kesihatan mental, fizikal mahupun pergaulan sosial tetapi lebih buruk, masalah bantut juga boleh membawa maut!
Malaysia juga kini sedang berdepan dengan masalah beban berganda malpemakanan di mana terdapat peningkatan kepada masalah kekurangan pemakanan dalam kalangan kanak-kanak bawah 5 tahun serta peningkatan kadar obesiti dalam kalangan dewasa.
Justeru, pihaknya mengadakan mesyuarat pertama Jawatankuasa Khas Memerangi Masalah Beban Berganda Malpemakanan Dalam Kanak-Kanak di Malaysia yang dianggotai KKM, Kementerian Pendidikan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Kementerian Perpaduan Negara.
KJ turut menjelaskan masalah tersebut merentasi semua kategori sosiodemografi sama ada di bandar atau luar bandar, pendapatan isi rumah, kumpulan etnik, pekerjaan dan tahap pendidikan.
“Masalah ini berlaku hampir di semua negeri dengan peratusan tertinggi dicatatkan di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Putrajaya,” tambah KJ lagi.
BACA: Rakyat Sarawak Paling Romantis, Kelantan Dan Putrajaya Di Kedudukan Akhir Carta – Kajian
Sumber: KOSMO! ONLINE