Kentut

Punca Kerap Kentut Dan Cara Bagaimana Untuk Mengatasinya

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Kentut sebenarnya merupakan satu perbuatan yang normal tetapi agak sensitif untuk dijadikan sebagai topik perbualan dan perbincangan.

Maka tidak hairanlah ramai yang lebih suka “memendam” dan tidak banyak maklumat yang diperolehi mengenai misteri kentut.

Mungkin ramai yang mengenali jenis-jenis bunyi dan bau kentut. Namun, apakah sebenarnya punca asyik terkentut-kentut dan apakah tip untuk mengatasi masalah tersebut?

Jangan risau. Dr Zubaidi Hj Ahmad ada membuat satu perkongsian mengenai masalah kentut ini di Facebooknya bagi membantu orang ramai untuk menghayati erti kentut sebenar tanpa rasa gelisah.

Kentut

APA PUNCA ASYIK KENTUT?

Kentut adalah perkara yang normal apabila terlalu banyak gas dalam usus besar. Otot anus akan melonggar dan mengeluarkan gas tersebut. Selalunya ia berbau busuk.

Gas yang dihasilkan dan berkumpul dalam usus adalah sebahagian dari proses pencernaan dan tindak balas aktiviti bakteria dalam saluran usus besar kita.

Kentut berlaku sesekali, tetapi kerap kentut mungkin menandakan ada masalah yang lebih serius.

1) Perubahan pemakanan

Apabila kita melancong ke sebuah negara yang agak asing dan makanan yang disediakan sangat berbeza dengan makanan yang selalu kita makan, menyebabkan perubahan proses pencernaan. Mungkin lebih banyak gas dihasilkan dan kita mungkin kentut dengan lebih banyak.

2) Makanan ‘berangin’

Makanan berkanji selalunya menghasilkan gas lebih banyak. Contohnya ubi, keledek dan kentang. Begitu juga makanan yang masam, bersantan dan pedas. Makanan berprotein boleh menghasilkan banyak gas dan menyebabkan kentut menjadi lebih busuk.

3) Alahan pada susu

Bagi mereka yang mengalami alahan pada protein susu atau mengalami masalah intoleransi laktosa, dinasihatkan mengelakkan susu kerana mereka akan menghasilkan lebih banyak gas. Ini akan menyebabkan abdomen menjadi kembung, memulas dan kentut lebih banyak.

4) Penyakit Celiac

Ia adalah masalah pencernaan apabila pesakit mengalami alahan pada gluten iaitu protein di dalam gandum dan oats. Selain abdomen kembung, ia menyebabkan rasa memulas.

5) Sindrom gangguan usus (IBS)

Irritable bowel syndrome (IBS) adalah masalah gangguan pada sistem pencernaan tanpa sebab yang spesifik. Ia mengakibatkan sakit perut, gas berlebihan, kentut dan cirit-birit terutama setelah makan. Pesakit akan rasa tidak selesa dan terus ke tandas.

Beberapa tips bagi mengatasi masalah kerap kentut. Antaranya:

1) Mengenalpasti makanan yang boleh menyebabkan kerap kentut, dan mengelakkannya.

2) Banyakkan minum air kosong bagi melancarkan sistem pencernaan.

3) Ambil dua sudu minyak zaitun bagi memudahkan membuang air besar.

4) Lakukan aktiviti fizikal bagi menggerakkan usus besar bagi menghalang sembelit.

5) Kurangkan makanan berlemak (santan), pedas dan masam.

6) Elakkan minuman berkarbonat dan alkohol.

Jika masalah kerap kentut, kembung abdomen, cirit-birit, najis berdarah dan kurang selesa makan berlanjutan sehingga berat badan berkurangan, buatlah pemeriksaan kesihatan bagi mengelakkan masalah ini lebih parah.

Semoga bermanfaat.

#HealthDrZubaidi
www.drzubaidi.com

Ikuti perkongsian pengalaman dan pengetahuan sepanjang lebih 25 tahun menjadi doktor Pengamal Perubatan Am di Telegram berkaitan kesihatan, pemakanan dan ubat-ubatan.
https://t.me/PerkongsianDrZubaidiHjAhmad

BACA: Paderi Dakwa Kentut Depan Muka Sembuhkan Penyakit, Ramai Sanggup Beratur Dapatkan Rawatan

Sumber: Dr Zubaidi Hj Ahmad