
PUBG Disekat Tiada Masalah, Pemain Tegar Di India Boleh Main FAU-G Atau Versi Klon ‘PABJE’
Permainan video popular, Player Unknown Battlegrounds Mobile (PUBG) antara aplikasi dari China yang diharamkan di India. Pastinya, ia mengundang pelbagai reaksi daripada rakyat India yang begitu ramai bermain PUBG.
Namun begitu, ia tidak mematahkan semangat para pemain di India apabila mereka telah pun membuat alternatif baharu untuk bermain permainan seumpama itu.
Dilihat, sebuah aplikasi permainan video yang bernama PABJE (Player And BattleJung Ends) sudah berada di Google Play Store yang telah pun mencecah sehingga 100,000 muat turun.
PABJE merupakan permainan percuma yang dibangunkan sendiri oleh One-Touch Games di India. Katanya, permainan ini mempunyai beberapa persamaan dengan PUBG Mobile walaupun grafik agak kurang menarik dan iklan sering muncul ketika permainan sedang berlangsung.
Sebenarnya, PABJE telah pun berada di Google Play Store sejak 2019 lagi dan pada awalnya pelancarannya amatlah kurang memuaskan. Tetapi setelah PUBG diharamkan di India, ia menjadi popular gara-gara ramai mahu mencuba permainan alternatif ini.
Difahamkan, pembangun aplikasi permainan video ini hanya seorang individu sahaja.
Bagaimanapun, tidak lama lagi akan muncul pengganti PUBG yang lebih meyakinkan iaitu Fearless and United: Guards (FAU-G). Ia adalah hasil kerjasama bintang Bollywood, Akshay Kumar dengan syarikat teknologi nCore Games.
FAU-G dijangka memasuki pasaran India menjelang akhir bulan depan. Nama permainan itu dicadangkan oleh Kumar sendiri yang juga membantu konsep asas permainan dalam talian itu.
Menurut pengasas bersama nCore Games, Vishal Gondal berkata, permainan tersebut akan menyemarakkan patriotisme dalam kalangan rakyat India dengan menjadikan kawasan di Lembah Galwan, Ladakh sebagai lapangan permainan mereka.
Malah sebagai tanda solidariti kepada anggota tentera di sana, 20 peratus daripada hasil jualan permainan tersebut akan disalurkan kepada pewaris mereka yang meninggal dunia ketika masih berkhidmat.
Sebagai rekod Lembah Galdwan, Ladakh sebelum ini menjadi perhatian seluruh dunia selepas askar dari India dan China terlibat dalam satu pertempuran tanpa senjata yang meragut puluhan nyawa askar mereka di perbatasan.
Susulan dari itu Majlis Keselamatan Negara India dengan persetujuan kepimpinan tertinggi India kemudiannya bertindak menyekat ratusan aplikasi telefon pintar yang dihasilkan China dikhuatiri mampu menggugat keselamatan negara mereka.
Sumber: Hindustan Times, Awani