
‘Pub Dan Bar Masih Belum Boleh Beroperasi, Tapi Kalau Tak Buka Terus Lagi Bagus’ – PM
Pub Dan Bar Masih Belum Boleh Beroperasi.
Sambutan Hari Kebangsaan ke-63 pada Ahad lalu dicemari dengan rekod kompaun terbesar dalam sehari sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dikuatkuasakan.
Pada hari tersebut, seramai 673 individu telah dikenakan kompaun pada hari itu sekaligus menunjukkan tahap keingkaran pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang tinggi.
Paling mengejutkan, kesalahan yang dikenakan kompaun paling tinggi merupakan aktiviti pub dan kelab malam, melibatkan tindakan ke atas 600 individu.
Seperti yang dikatakan oleh Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Selasa, pub dan kelab malam masih belum dibenarkan beroperasi. Jadi, tindakan membuka pub dan kelab malam adalah melanggar SOP dan akta kerana ia masih dalam senarai operasi yang belum dibenarkan.
Begitu juga yang dinyatakan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa pub dan bar adalah beberapa jenis perniagaan yang masih dilarang sepanjang tempoh PKPP, menurut Malay Mail.
“Pub dan bar masih belum boleh beroperasi, tetapi saya rasa mungkin jika mereka tidak buka sama sekali adalah perkara yang baik,” katanya dengan nada berseloroh.

Beliau berkata sedemikian ketika memberi respon tentang pemerintahannya sepanjang pandemik COVID-19 melanda, antara pencapaiannya yang paling jelas sejak menjadi Perdana Menteri.
Dalam pada itu, kira-kira 69 peratus pengundi negara ini, dilihat berpuas hati dan gembira dengan prestasi ditunjukkan Tan Sri Muhyiddin Yassin, dalam mengetuai jentera pentadbiran negara.
Dapatan itu adalah hasil kajian Merdeka Center di antara 15 Julai hingga 10 Ogos lalu, berhubung penerimaan pengundi terhadap prestasi Perdana Menteri. Ia dibuat bagi menyelami persepsi rakyat terhadap beberapa elemen penting, mencakupi ekonomi, kepemimpinan dan isu semasa.
Kajian itu membabitkan responden terdiri daripada 3,415 pengundi berdaftar berbilang kaum di seluruh negara, yang dihubungi melalui telefon dan telefon bimbit.
Kesemua responden dipilih secara rawak, menggunakan perincian kumpulan umur, etnik, jantina dan kawasan parlimen.
Sumber: Malay Mail, BH
BACA: Belanda Buka Semula Kelab Malam, Kena Jaga Jarak Dan Tak Boleh Galak Berjoget Seperti Selalu