Puak Puja Putera Philip Sebagai Dewa

Puak Yang Memuja Putera Philip Sebagai Dewa Selama Lebih 50 Tahun

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Puak puja Putera Philip selama lebih 50 tahun.

Pada zaman dahulu, lazimnya seorang pemimpin seperti raja akan dipuja atau disembah kerana dianggap sebagai jelmaan dewa.

Konsep manusia menyembah sesama manusia semakin ditinggalkan sejajar dengan peredaran zaman. Tetapi tidak kepada segelintir puak yang masih mengamalkan konsep sebegitu.

Apa yang lebih menarik, puak ini menyembah seorang putera yang bukan datang dari negaranya.

Puak ini tinggal di pulau Tanna di Vanuatu, kepulauan terpencil di Pasifik menganggap Putera Philip sebagai dewa selama lebih 50 tahun.

Seorang ahli antropologi berkata, puak tersebut percaya bahawa Duke of Edinburgh itu kelahiran semula seorang pejuang kuno yang meninggalkan kepulauan itu untuk berperang.

Mereka sebelum ini turut percaya bahawa ketua pejuang itu akan kembali dengan seorang isteri berkulit putih yang kaya.

Putera Philip memenuhi kriteria itu apabila mengahwini Ratu Elizabeth II dan membentuk hubung kait dengan lagenda pada tahun 1960 apabila Vanuatu merupakan koloni Anglo-Perancis yang dikenali sebagai Hebrides.

Setelah mengetahui bahawa Putera Philip tidak dilahirkan di England, Perancis atau Amerika Syarikat, mereka memutuskan bahawa Duke of Edinburgh itu berasal dari Tanna.

Puak Puja Putera Philip Sebagai Dewa

Kekaguman luar biasa puak itu terhadap Putera Philip dizahirkan dalam pemujaan doa setiap hari agar beliau memberkati tanaman pisang dan keladi selain potretnya digantung di semua rumah penduduk kampung.

Apabila mereka merima perkhabaran kemangkatan Putera Philip pada 9 April lalu ketika usia baginda 99 tahun, mereka berduka; golongan wanita menangis manakala lelaki hanya berdiam diri sahaja sambil cuba menenangkan anak-anak mereka.

Sebagai penghormatan terakhir, mereka akan mengadakan ritual dan tarian tradisional khas.

Puak Puja Putera Philip Sebagai Dewa

Dalam upacara itu, golongan lelaki meminum kava (minuman yang diperbuat daripada akar tanaman lada) sebagai kunci untuk membuka pintu ke dunia ghaib.

Mengikut kepercayaan puak itu, ketika mereka kelihatan mabuk, ia dianggap sedang berlakunya proses hubungan antara dua dunia.

Para ketua kampung menyampaikan pesan kepada Ratu Elizabeth II pada Isnin dengan berkata, semangatnya mendiang akan terus hidup.

Dilaporkan, pemujaan puak tersebut akan beralih kepada anak mendiang iaitu Putera Charles, juga sebagai dewa seperti bapanya.

Sumber: Daily Mail, Kosmo