PRU15

PRU15: Orang Ramai Boleh Repot TNB Jika Bahan Kempen Timbulkan Bahaya Dan Masalah

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Parti-parti politik yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diingatkan agar tidak memasang apa jua bentuk bahan kempen di mana-mana premis dan pepasangan elektrik milik Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Larangan tersebut dikeluarkan oleh TNB untuk sepanjang masa berlangsungnya tempoh berkempen parti-parti berkenaan mulai 5 November hingga 18 November 2022 nanti.

Ini termasuklah menampal atau menggantung bahan-bahan kempen seperti poster, bendera dan sepanduk di menara penghantaran, tiang elektrik, peti pembekal, pencawang, tiang elektrik konkrit dan talian atas.

Perbuatan-perbuatan tersebut dikatakan boleh mengundang bahaya kerana berisiko mengakibatkan berlakunya renjatan elektrik.

“Ia juga mungkin menyebabkan gangguan bekalan elektrik jika percikan arka (flashover) berlaku sehingga merosakkan harta benda bahkan mengancam nyawa.

“Pemasangan bahan-bahan kempen tersebut juga boleh menghalang warga kerja TNB untuk mendapat akses untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan pemulihan bekalan,” jelas Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagian (Chief Distribution Network Officer) TNB, Wan Nazmy Wan Mahmood dalam satu kenyataan.

Orang ramai yang ternampak atau terjumpa dengan situasi yang boleh mengancam keselamatan orang lain atau menjejaskan bekalan elektrik disebabkan oleh kempen PRU15 boleh segera repot TNB dengan menghubungi Facebook TNB CareLine atau talian 15454 agar tindakan sewajarnya dapat diambil.

Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak memegang, membawa atau memasang tiang bendera di bawah mana-mana talian penghantaran elektrik termasuk tiang bendera yang diperbuat daripada buluh yang boleh menyebabkan renjatan elektrik berlaku pada mereka yang berada berhampiran.

Tindakan merbahaya itu juga sebenarnya adalah menyalahi peruntukan Seksyen 37, Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447), iaitu merosakkan pepasangan elektrik.

TNB turut akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) dan pihak berkuasa tempatan untuk menurunkan sebarang bahan kempen PRU15 yang berisiko menimbulkan bahaya dan masalah kepada pengguna menerusi rondaan rutin.

PRU15

BACA: Leher Kena Lilit Tali Bendera, Remaja Tanggung Derita Kedua-Dua Tangan Patah Akibat Jatuh Motor

Sumber: astro AWANI