
PRU15: Kena ‘Spam’ Suruh Mengundi, Data Peribadi Orang Ramai Tidak Dilindungi?
Timbul persoalan mengenai isu perlindungan data peribadi ketika ini apabila ramai yang mendakwa telah menerima banyak panggilan ‘spam’ atau mesej melalui aplikasi WhatsApp dari parti-parti politik sejak akhir-akhir ini.
Wartawan Aidila Razak yang melaporkan untuk Malaysiakini mendakwa, beberapa tangkap layar mesej WhatsApp yang diterima oleh orang ramai kini banyak dikongsikan di media sosial.
Mesej tersebut yang mengajak orang ramai untuk keluar mengundi turut mengandungi butiran termasuk pusat mengundi dan nombor kad pengenalan mereka.
Walaupun sebahagian dari butiran ini boleh diakses oleh parti politik melalui daftar pemilih, namun tidak jelas bagaimana petugas kempen boleh mengakses nombor telefon pengundi.
Seorang pengguna Twitter memberitahu, dia berasa ‘takut’ menerima ‘peringatan untuk mengundi’ sedemikian.
“Saya sangat nak tahu (bagaimana mereka dapat akses) dan bimbang macam mana mereka boleh dapat nombor telefon bimbit peribadi kita yang tiada dalam daftar pemilih,” jelasnya.
Menurutnya, pada 7 November lalu, dia menerima mesej yang dikatakan diterima dari seorang petugas kempen parti politik yang memberinya ‘peringatan pertama’ untuk keluar mengundi.
“Kami hendak memberitahu di mana tempat mengundi anda,” kata petugas kempen itu apabila dia bertanya mengapa mereka menghantar gambar butiran mengundinya melalui WhatsApp yang turut mengandungi alamat dan nombor kad pengenalannya.
Seorang lagi pengadu yang turut berkongsi tangkap layar skrin mesej yang diterimanya kepada Malaysiakini meluahkan perasaannya, “Saya sangat marah tentang perkara ini. Macam mana mereka boleh dapat data saya seperti tu dengan mudah?”
Portal berita tersebut juga melaporkan, terdapat juga aduan yang mendakwa mereka diminta untuk menyemak butiran melalui satu pautan laman web yang diberikan.
Namun, apabila laman web tersebut dikunjungi, bukan sahaja butiran dan maklumat peribadinya dipaparkan, malah dia juga disuruh untuk mengundi calon yang diberi.
“Saya betul-betul ingatkan (mesej teks) itu adalah peringatan Suruhanjaya Pilihan Raya. Tak tahu pula ia adalah peringatan daripada XX untuk mengundi mereka.
“Ini sangat tak betul. Mereka guna data peribadi kita untuk dapatkan maklumat pilihan raya, dan kemudian hantar ke nombor telefon kita,” tambahnya.
Terdapat juga rungutan dari orang ramai yang melahirkan rasa tidak puas hati kerana menerima risalah-risalah parti politik yang diletakkan di dalam peti surat dengan tidak betul dan bertaburan di tiup angin, sekali gus mendedahkan nombor kad pengenalan mereka kepada orang yang tidak dikenali.
BACA: 4 Juta Data Rakyat Malaysia Dalam JPN Bocor, Diiklan Dengan Harga Sekitar RM35 Ribu
Sumber: Malaysiakini