
Program Mengimarahkan Masjid: Solat Jemaah, Dapat Duit (Untuk Bawah 15 Tahun Sahaja)
Satu program bagi mengimarahkan masjid telah dilaksanakan oleh Masjid Hadhari di Jertih, Terengganu bagi menarik minat kanak-kanak berusia bawah 15 tahun untuk sama-sama menunaikan solat berjemaah.
Program yang mula dilaksanakan minggu lalu itu melibatkan pengagihan wang saku persekolahan berjumlah RM7 kepada kanak-kanak yang hadir untuk solat berjemaah Subuh dan Isyak di masjid tersebut.
Pengerusi Lembaga Pengurusannya, Baharudin Ibrahim berkata, kanak-kanak yang menunaikan solat Subuh di masjid tersebut akan menerima wang tunai RM5 manakala bagi mereka yang menunaikan solat Isyak akan mendapat RM2.
Menurutnya, program itu mendapat sambutan menggalakkan daripada kanak-kanak dan masyarakat setempat.
“Pendekatan ini adalah satu usaha masjid bagi menghidupkan suasana solat berjemaah, khususnya dalam kalangan kanak-kanak.
“Wang tunai ini diharap dapat dimanfaatkan sebagai wang saku persekolahan, sekali gus sedikit sebanyak meringankan beban ibu bapa mereka,” jelasnya kepada wartawan Berita Harian, Nurul Fatihah Sulaini.
“Program ini akan dijadikan rutin harian dan kami turut menggalakkan masjid lain melakukan pelbagai program yang dapat menarik lebih ramai golongan muda mendekati masjid,” tambahnya lagi.
Selain itu, Rakan Muda Masjid Hadhari turut melakukan pelbagai aktiviti lagi bagi mengimarahkan masjid seperti kelas mengaji, Kem Pemantapan Diri Rakan Muda Masjid di Pulau Rhu, Besut, Malam Mesra Rakan Muda Masjid dan program gotong-royong.
Pada peringkat awal, didapati hanya beberapa orang kanak-kanak hadir untuk menunaikan solat berjemaah di masjid tersebut.
Namun, kehadiran mereka pada minggu kedua kemudiannya bertambah sehingga tiga kali ganda!
BACA: ‘Masjid Mesra Kanak-Kanak’ Sentiasa Menjadi Idaman Para Ibu Bapa Di Malaysia
Sumber: Berita Harian