Produk Penjagaan Wajah ‘Fair & Lovely’ Tukar Nama Susulan Bantahan Banteras Perkauman

Fair & Lovely Tukar Nama Perkauman

Syarikat pembekal barangan keperluan harian, Unilever di India akan menukar nama produk penjagaan wajah Fair & Lovely selepas berlaku bantahan besar-besaran yang menentang sentimen perkauman di seluruh dunia.

Syarikat Inggeris-Belanda itu menyatakan ia akan berhenti menggunakan perkataan ‘Fair’ yang membawa erti cerah pada nama produk itu memandangkan jenama itu ‘komited dalam meraikan semua jenis rona kulit’.

“Kami menyedari bahawa penggunaan kata-kata ‘cerah’, ‘putih’ dan ‘terang’ menunjukkan ideal kecantikan yang kami anggap tidak betul, dan kami ingin mengubahnya,” kata Sunny Jain, presiden Unilever’s Bahagian Kecantikan dan Penjagaan Diri.

Unilever dilaporkan mengaut keuntungan sebanyak AS$500 juta (S$697 juta) menerusi penjualan produk Fair & Lovely di India pada tahun lalu.

Kulit cerah di India digambarkan sebagai mereka yang daripada golongan berdarjat.

“Kami akan menjadikan portfolio jagaan kulit kami lebih inklusif dan kami mahu menerajui usaha yang memaparkan kecantikan yang lebih pelbagai,” kata ketua Unilever di India, Sanjiv Mehta dalam satu kenyataan.

Fair & Lovely Tukar Nama Perkauman

Sebilangan syarikat, termasuk gergasi produk kecantikan Perancis L’Oreal – dikecam baru-baru ini berhubung produk-produk pencerahan kulit selepas tercetusnya gerakan Black Lives Matter yang menegakkan keadilan menyusuli kematian lelaki kulit hitam George Floyd di Amerika Syarikat.

Johnson & Johnson menyatakan pada minggu lalu ia akan berhenti menjual sebilangan produk Neutrogena dan Clean & Clear, yang dijual sebagai produk yang dapat mengurangkan tompok hitam pada wajah di pasaran Asia dan Timur Tengah.

Produk-produk krim pemutih kulit di India sudah sekian lama disokong oleh bintang-bintang Bollywood terkemuka seperti Shah Rukh Khan dan Priyanka Chopra Jonas.

Sumber: Reuters