
PPSMI Tidak Akan Diperkenal, Jawi Tetap Diteruskan – Menteri Pendidikan
Setelah beberapa episod mengenai isu pengenalan semula Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), Kementerian Pendidikan menyatakan tidak berhsarat untuk memperkenalkan semula dasar tersebut.
Perkembangan itu dimaklumkan Menteri Pendidikan Radzi Jidin dalam jawapan bertulis kepada William Leong (PH-Selayang), menurut laporan FMT.
William meminta menteri menyatakan alasan untuk memperkenalkan semula PPSMI, yang dirancangkan pentadbiran lepas, dan apakah penambahbaikan yang akan dibuat untuk mengatasi kelemahan terdahulu.
PPSMI diperkenalkan bagi Tahun 1 sekolah rendah dan Tingkatan 1 sekolah menengah pada 2003. Ia kemudian dihentikan pada 2013.
Pada Julai tahun lalu, perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad mengumumkan kementerian sedang mengkaji secara terperinci cadangan untuk melaksanakan semula dasar PPSMI kerana Bahasa Inggeris merupakan bahasa antarabangsa.
Bagaimanapun, pengenalan semula dasar tersebut mendapat tentangan hebat antaranya seramai 300 profesor daripada Majlis Profesor Negara (MPN) dan juga bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Dr. Awang Sariyan menerusi Utusan Online pernah menyuarakan bahawa tindakan kerajaan yang mahu mengembalikan PPSMI hanyalah mengulangi kesilapan lama.
Jawi akan diteruskan
Sementara itu, kementerian memaklumkan pengenalan tulisan Jawi akan terus dilaksanakan di sekolah jenis kebangsaan dan sekolah mubaligh bantuan kerajaan jika dipersetujui Persatuan Ibu Bapa dan Guru serta murid.
Bagaimanapun, kementerian akan memperhalusi semula perkara berkaitan dengan tulisan Jawi ‘secara menyeluruh dan holistik’.
“Buat masa ini, keputusan jemaah menteri sebelum ini dikekalkan,” katanya dalam jawapan bertulis kepada Sim Chee Keong (PH-Bukit Mertajam).
Sim meminta menteri menyatakan pendirian terhadap pengenalan Jawi dalam sukatan buku teks Bahasa Melayu Darjah 4 Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil.
Pembelajaran tulisan Jawi mendapat tentangan hebat daripada sekolah rendah jenis kebangsaan serta pertubuhan pendidikan Cina seperti Dong Zong.
Kabinet pada 14 Ogos memutuskan bilangan muka surat pengenalan tulisan Jawi dalam buku teks dikurangkan daripada 6 muka surat mengikut cadangan asal kepada 3 muka surat.
Sumber: FMT