
Polis Sampai Habis Ikhtiar, Kehilangan Adik Sharlinie Sejak 2008 Masih Lagi Misteri
Meskipun beberapa kes kejadian cubaan menculik kanak-kanak yang kerap disebarkan melalui media sosial sejak kebelakangan ini kebanyakannya hanyalah palsu, namun para ibu bapa tidak boleh memandang ringan jenayah kejam ini.
Wartawan veteran, Syahril A. Kadir membawa orang ramai mengimbau kembali kejadian culik yang pernah menggemparkan negara satu ketika dahulu dan masih lagi kekal menjadi misteri hingga ke hari ini melalui hantaran di Facebooknya berikut.
Adalah diharapkan kisah ini dapat dijadikan peringatan bersama dan semoga adik Sharlinie dapat ditemui semula dalam keadaan sihat dan selamat. Insya-Allah.
DAH 14 TAHUN HILANG…DI MANAKAH AGAKNYA ADIK SHARLINIE?
LATELY macam-macam dengar kes budak kena culik, nasib baik setelah disiasat, ternyata ia adalah palsu, Alhamdulillah.
Namun adakah korang masih ingat adik Sharlinie Mohd. Nashar, yang dilaporkan diculik ketika sedang bermain bersama kakaknya di padang permainan yang terletak kira-kira 200 meter dari rumahnya di No. 29, Jalan PJS2C/11N, Taman Medan, Petaling Jaya pada 9 Januari 2008?
Kini genap 14 tahun Sharlinie terus hilang tanpa khabar berita.
Dalam perkiraan saya, kalau dia masih ada, Sharlinie sekarang dah pun berusia 19 tahun, muda remaja sudah. Ini kerana sewaktu kejadian dia baru berusia lima tahun.
Untuk rekod, mangsa diculik kira-kira pukul 11.30 pagi. Ketika itu mangsa sedang leka bermain bersama kakaknya, Sharliena yang berusia lapan tahun.
Ketika hilang, mangsa yang mempunyai tiga adik-beradik memakai baju-T dan skirt berwarna biru muda serta selipar warna merah jambu.
Saya ingat lagi, sewaktu kejadian saya mengetuai Meja Jenayah dan Laporan Khas di Sinar Harian.
Hampir setiap hari, kami dari pelbagai agensi media berusaha keras bersama-sama pasukan polis dan orang ramai untuk melaporkan perkembangan tersebut yang telah menggemparkan negara ketika itu.
Di mana saja ada operasi pencarian, anak buah saya termasuk dengan saya-saya sekali akan turun padang. Operasi pencarian mangsa dibuat sampai ke peringkat dari rumah ke rumah, kawasan pembinaan dan apa saja lokasi yang difikirkan mampu menemukan adik Sharlinie.
Yang paling kesian keluarganya. Dahlah kehilangan anak tersayang, ramai pulak yang ambil kesempatan kononnya mampu mendapatkan Sharlinie (dengan meminta sejumlah bayaran), itu belum campur ugutan dan SMS palsu hingga membuatkan mereka trauma yang teramat. Masa tu Whatsapp takde lagi, kalau dah ada, lagi jenuh!
Sudahnya keluarganya nekad berpindah dari Petaling Jaya dan pulang ke kampung mereka di Dungun, Terengganu untuk memulakan hidup baru.
Polis sampai habis ikhtiar ketika itu berusaha mengesan Sharlinie namun gagal hingga ke sudah.
Ingatlah, jangan ambil mudah. Kehilangan Sharlinie, pembunuhan Nurin dan Dirang, semua adalah ‘real’. Di luar sana masih ada manusia bertopengkan haiwan yang mampu berbuat apa saja jikalau kita terlalai.
Mangsa bukan hanya kanak-kanak perempuan, kanak-kanak lelaki juga tidak terkecuali.
Nauzubillah.
BACA: 14 Tahun Sudah Berlalu, Bapa Nurin Jazlin Masih Menanti Keadilan Kes Anaknya
Sumber: Syahril A. Kadir