
Polis Robot ‘Pembunuh’ Lengkap Dengan Senjata Api Bakal Digunakan Di San Francisco
Pegawai Lembaga Penyelia San Francisco telah mengundi untuk membenarkan penggunaan robot kawalan jauh oleh polis bandar itu yang mampu membunuh dalam situasi kecemasan.
Robot yang dilengkapi dengan bahan letupan dan senjata api itu akan dikerahkan oleh pihak polis yang diberi kuasa selepas menggunakan taktik pertahanan alternatif.
Robot berkenaan juga akan berfungsi untuk melanggar struktur berkubu yang melindungi suspek ganas, bersenjata atau berbahaya.
Polis San Francisco kini mempunyai lebih 12 robot yang berfungsi untuk menilai bom atau melihat dalam situasi penglihatan yang rendah.
Menurut Jurucakap Jabatan Polis San Francisco (SFPD), Allison Maxie, jabatan itu sebelum ini belum pernah mengendalikan mana-mana robot yang dilengkapi dengan senjata namun tidak menafikan senario itu diperlukan pada masa hadapan.
Meskipun begitu, hanya sebilangan pegawai berpangkat tinggi sahaja yang akan diberi kuasa untuk membenarkan penggunaan robot bersenjata itu sebagai pilihan terakhir untuk menundukkan musuh.
“Robot yang dilengkapi dengan cara ini hanya akan digunakan dalam keadaan yang ekstrem atau terdesak untuk menyelamatkan atau mencegah kehilangan nyawa mereka yang tidak bersalah.
“Cadangan itu telah dipinda sebelum diluluskan untuk menjelaskan bahawa pegawai hanya dibenarkan menggunakan robot selepas mereka kehabisan kekuatan alternatif atau taktik pertahanan atau membuat kesimpulan bahawa mereka tidak akan dapat menundukkan suspek melalui cara alternatif tersebut,” tegasnya.
Langkah tersebut diluluskan dengan pindaan kelmarin selepas undian menyokong berjaya dibuat.
Walau bagaimanapun, pada ketika ini, terdapat bantahan keras dari kumpulan hak kebebasan awam dan kumpulan pengawasan polis lain di pantai barat Amerika Syarikat.
BACA: Robot Semakin Bijak Atasi Manusia, Google Terpaksa Bangunkan Teknologi Lebih Maju
Sumber: Utusan Malaysia