Penjaja Jalanan Simpan Jeruk Dalam Longkang

Polis Kesan Penjaja Jalanan Simpan Jeruk Dalam Longkang, Tepi Loji Kumbahan

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Buat pengguna jalan raya, pasti anda dapat lihat semakin banyak penjaja jalanan terutama di kawasan persimpangan lampu isyarat yang mana penjaja-penjaja menjual barangan mereka ke setiap tingkap kereta.

Namun, tindakan mereka bukan sahaja membahayakan nyawa, malah turut menimbulkan ketidakselesaan kepada pengguna jalan raya kerana ia boleh mendatangkan jenayah.

Mereka yang tertangkap akan berdepan hukuman penjara dan denda sehingga RM100,000 sekiranya didakwa di mahkamah.

Penjaja simpan jeruk dalam longkang

Baru-baru ini, Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Johor mengadakan Op Khas Penjaja Jalanan di sekitar kawasan Bandar Baru Uda selepas menerima aduan mengenai aktiviti penjaja jalanan yang semakin berleluasa di sekitar kawasan terbabit.

Bagaimanapun, polis mengesan sekumpulan penjaja jeruk buah-buahan menyimpan dan menyorok produk mereka di dalam longkang dan berhampiran loji kumbahan.

Tindakan ambil mudah peniaga ini bukan sahaja kotor dan jijik malah kemungkinan mengundang masalah kesihatan serius kepada pengguna.

“Ia operasi berkala bagi menangani isu penjaja jalanan. Berdasarkan statistik dan data yang diperoleh, sebanyak 52 lokasi tumpuan penjaja jalanan dikenal pasti dan tumpuan utama adalah persimpangan lampu isyarat di laluan utama,” kata Ketua JSPT Johor, Superintendan M Kumarasan.

Katanya, hasil operasi mendapati bungkusan jeruk disorok di lokasi yang tidak sepatutnya semata-mata mengelak dikenakan tindakan oleh penguat kuasa.

Kegiatan tersebut dikhuatiri didalangi sindiket yang cuba mengaut untung dengan mudah malah mereka juga berani apabila menggajikan warga asing untuk menjalankan aktiviti terbabit.

Penjaja Jalanan Simpan Jeruk Dalam Longkang

Jelasnya, aktiviti menjaja di jalan awam merupakan kesalahan yang jelas yang mana melanggar peraturan dan undang-undang.

Sumber: Berita Harian