
Polis Dedah Mangsa Tegur Jangan Tonton Video Lucah Punca Dibuli Rakan MRSM
Polis Dedah Mangsa Tegur Jangan Tonton Video Lucah Punca Dibuli Rakan MRSM.
Pelajar lelaki tingkatan satu Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah Kuala Kangsar yang menjadi mangsa buli membabitkan enam rakan setingkatan kini dirawat di sebuah hospital di Selangor.
Mangsa difahamkan telah mengalami kecederaan soft tissue atau kecederaan tisu lembut dalam badan dan kini dalam keadaan stabil.
Tegur jangan tonton video lucah punca dibuli rakan MRSM
Siasatan polis mendapati punca kejadian buli tersebut hanya kerana mangsa menegur rakan agar tidak menonton video lucah, kata Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid.
“Berdasarkan temubual itu, mangsa memberitahu dia telah menasihati seorang daripada suspek supaya tidak menonton video lucah dan jika enggan akan melaporkan kepada guru atau warden.
“Ini antara punca mengapa enam pelajar itu marah dan bertindak memukul serta membuli mangsa. Seorang pelajar tingkatan tiga telah mengarahkan enam pelajar terbabit untuk menumbuk mangsa,” katanya kepada media.
Menurut beliau, seramai 10 pelajar yang terlibat ditahan untuk dirakam percakapan sebelum mereka dibebaskan dengan jaminan polis.
Pihaknya juga telah merampas 11 buah telefon bimbit untuk dihantar ke bahagian forensik bagi melihat kandungan dalam peranti berkenaan.
“Setakat ini, dua laporan polis diterima berkaitan kes tersebut iaitu daripada pengetua sekolah dan bapa mangsa. Kertas siasatan kes itu akan dihantar ke Timbalan Pendakwa Raya untuk proses pendakwaan sebaik sahaja siasatan selesai dijalankan,” katanya.
Jumaat lalu, video berdurasi 10 saat tular dalam media sosial yang memaparkan seorang pelajar dikepung rakan-rakannya di dalam bilik asrama dengan mangsa ditumbuk di bahagian perut.
Video tersebut mendapat perhatian netizen dengan rata-rata mengecam tindakan pelajar-pelajar berkenaan yang membuli mangsa.
Sementara itu, Ketua Pengarah MARA memaklumkan bahawa Jawatankuasa Disiplin Maktab (JDM) menamatkan pengajian 10 pelajar terbabit berkuat kuasa hari ini.
BACA: Hilang Pendengaran & Trauma, Mangsa Buli Yang Pernah Failkan Tuntutan RM2 Juta & Menang
Sumber: Suara Merdeka