
Pokok Hiasan Tular Ini Mampu Tapis Habuk? Ini Fakta Sebenarnya
Aliran udara yang sempurna di dalam rumah penting bagi memastikan keselesaan penghuni untuk menghirup udara segar dan menjamin kadar penyimpanan haba di tahap minimum.
Sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ramai mempunyai masa untuk menghias rumah agar tampak lebih berseri. Di tambah pula dengan penularan pokok hiasan yang dikatakan mampu menapis untuk udara berkualiti, pokok-pokok hiasan ini menjadi buruan kaki deko.
Pokok hiasan lidah jin atau lidah mentua (sansevieria) dikatakan memiliki kemampuan menyerap gas bertoksik. Ia menjadi tular apabila seorang pengguna media sosial mendakwa sejak meletakkan pokok hiasan ini di atas rak dalam rumahnya, habuk semakin berkurangan.
Bagaimanapun, Public Health Malaysia baru-baru ini memuat naik kenyataan berkaitan perkara sebenar tentang hal ini.
Menurut Public Heath Malaysia, NASA pernah melakukan kajian untuk menguji kesan tumbuhan kepada kualiti udara di dalam rumah pada tahun 1989.
Antara pokok yang dibawa ke angkasa lepas untuk menjalani eksperimen ialah pokok buluh pam, keladi chinese evergreen dan pokok lidah jin.
Kajian mendapati tumbuhan tersebut tidak boleh bertindak sebagai penapis udara kerana untuk tujuan itu, 1000 jenis tumbuhan diperlukan.
“Pada tahun 1989, NASA ada menjalankan satu kajian yang popular untuk menguji kesan tumbuhan kepada kualiti udara di dalam rumah.
“Pada ketika itu, pokok buluh pam, keladi chinese evergreen dan pokok lidah jin di bawa ke angkasa dan telah terbukti dalam ruang yang sempit dan pengudaraan yang terbatas, tumbuhan tersebut mampu memperbaiki kualiti udara.
“Namun adakah ia bermakna tumbuhan ini boleh bertindak sebagai penapis udara?
“Jawapannya TIDAK.
“Penemuan kajian tersebut hanya untuk ruang tertutup didalam kebuk udara makmal. Dalam ruang pejabat/ bilik bersaiz 3.1M x 3.1M x 2.4M anda memerlukan 1000 jenis tumbuhan untuk bertindak secara berkesan untuk menapis udara secara berkesan!
“Walaupun tumbuhan dalam rumah tidak berkesan sebagai penapis udara, ia sangat penting untuk mengurangkan stress. Persekitaran yang baik dan indah terbukti dapat meningkatkan mood yang positif dalam aktiviti seharian,” kongsinya di laman sosial.
Sumber: Public Health Malaysia