
Pluto Kini Tidak Lagi Berstatus Planet
Tahukah anda sebenarnya Pluto kini tidak lagi tersenarai sebagai sebuah planet?
Dari zaman persekolahan, jika diajar mengenai sistem suria, Pluto merupakan planet ke-9 yang mengorbit matahari. Namun takhta Pluto sebagai planet ke-9 kini hilang dan Pluto hanyalah wujud sebagai sebuah planet kerdil.
Bagaimana ini boleh berlaku?
Untuk pengetahuan anda, perubahan telah dibuat pada tahun 2006 yang mana Pluto tidak lagi sesuai didefinisikan sebagai sebuah planet menurut Kesatuan Astronomi Antarabangsa (IAU).
Mengikut IAU, sesuatu objek boleh dikelaskan sebagai planet dengan beberapa syarat:
- Mengelilingi matahari,
- mempunyai jisim dan graviti yang mencukupi untuk mencapai keseimbangan hidrostatik (hampir bulat), dan
- kawasan sekelilingnya bersih daripada sebarang objek-objek yang boleh mengganggu orbitnya.
Jika hanya syarat 1 dan 2 mampu dipenuhi, maka objek tersebut akan dikelaskan di bawah kelompok planet kerdil. Antara yang termasuk dalam kelompok ini ialah Pluto, Eris, Ceres dan Makemake.
BACA: Fenomena Kosmik: Planet Utarid Sejajar Dengan Matahari Dan Bumi
Manakala objek yang hanya memenuhi syarat 1 akan dikelaskan sebagai ‘Jasad Kecil Sistem Suria’ seperti Asteroid, Komet dan Meteoroid.
Pluto pertama kali ditemui pada 18 Februari 1930 oleh Clyde William Tombaugh merupakan sebuah objek di lingkaran Kuiper dan diiktiraf sebagai planet ke-9 sistem suria sejak berpuluh tahun daripada ianya ditemui.

Namun seiring dengan perkembangan teknologi cerapan angkasa, taraf Pluto menjadi perdebatan komuniti Astronomi selepas beberapa objek lain yang mempunyai ciri hampir serupa seperti Pluto ditemui di sekitar lingkaran Kuiper, sebagai contoh Eris dan Makemake yang diumumkan penemuannya pada tahun 2005.
Daripada situlah IAU mengambil keputusan menetapkan syarat dan peraturan bagi mengklasifikasikan sesebuah objek di langit sebagai planet dan kemudiannya memperkenalkan satu kelompok baharu dalam sistem suria iaitu planet kerdil.
Sumber: Ini Sains Beb, Library of Congress