
PKP Fasa 4 Terbatal Dengan Bermula PKPB, Ini Peraturan Baharu Yang Perlu Anda Tahu
Peraturan-peraturan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan fasa empat (PKP4) sebelum ini terbatal dengan bermulanya PKP Bersyarat (PKPB) hari ini sebagai PKP fasa lima (PKP5), kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Justeru, semua pihak di seluruh negara sama ada di negeri dan daerah tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan seperti diwarta mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) masih lagi berkuatkuasa.
“Oleh itu PKP 4 yang diwartakan terbatal kerana kita sudah warta PKP 5, dan tidak timbul isu ada pihak tidak mahu mematuhinya kerana itu adalah salah di sisi undang-undang,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat khas menteri mengenai PKP di Putrajaya.
BACA: PKP Bersyarat: 23 Aktiviti Yang Masih Tidak Dibenarkan

Dengan itu, Kementerian Kesihatan (KKM) mewartakan Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No. 5) 2020 bagi PKPB.
Pelaksanaan PKPB atau PKP5 yang bermula hari ini menyaksikan hampir kesemua sektor ekonomi dan sosial dibuka semula.
Peraturan baharu yang termaktub dalam PKPB ini ialah:
1) Membolehkan empat individu serumah dan sekeluarga dalam satu kenderaan untuk keluar bagi tujuan keperluan penting.
2) Perkhidmatan teksi dan e-hailing, tidak dibenarkan membawa lebih daripada dua penumpang bagi setiap perjalanan.
3) Pengangkutan awam – mana-mana operator darat, laut atau udara tidak boleh membawa lebih daripada separuh jumlah kapasiti maksimum penumpang yang dibenarkan.
4) Tidak ada lagi radius 10 kilometer dalam peraturan PKPB, tetapi rentas negeri masih dalam senarai yang dilarang.
Permohonan untuk bergerak merentas negeri bagi tujuan mereka yang terkandas di kampung boleh dilakukan dari 4 hingga 6 April, di aplikasi Gerak Malaysia. Manakala pergerakan tersebut dijadualkan dari 7 hingga 10 Mei 2020.
5) Tiada lagi larangan perjalanan selepas pukul 10 malam atau pergerakan rentas daerah di bawah perintah kawalan PKPB.
6) Perhimpunan melibatkan upacara pengembumian boleh dibenarkan dengan syarat maksimum 20 orang sahaja.
Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) tetap terpakai dalam PKPB dan hukuman kepada yang ingkar akan tetap dikenakan seperti PKP sebelumnya.
“Akta tetap sama. Hukuman kepada yang ingkar ialah kompaun tak lebih RM1,000, penjara tidak lebih enam bulan, atau kedua-duanya sekali dan perniagaan yang tidak mengikuti SOP yang ditetapkan, premis mereka boleh ditutup,” kata Ismail Sabri.
Sumber: Malay Mail, Bernama