Pindaan Akta Pengangkutan Turut Sasar Geng Basikal Lajak Dan Mat Rempit

Basikal Lajak Haram
Sumber: PerakToday

Susulan daripada pertambahan kes kemalangan melibatkan pemandu mabuk, kerajaan dengan kerjasama Kementerian Pengangkutan bersetuju untuk melakukan pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

BACA: Kejadian Pemandu Mabuk Kerap Berlaku, Wilayah Persekutuan Cadang Bekukan Lesen Arak

Tidak hanya menyasarkan hukuman lebih berat kepada kesalahan memandu di bawah pengaruh dadah atau alkohol serta pemanduan secara bahaya, pindaan Akta 333 ini akan turut memberikan tumpuan kepada geng basikal lajak dan mat rempit.

Pindaan Akta Pengangkutan Turut Sasar Geng Basikal Lajak Dan Mat Rempit
Sumber: The Star

Menurut Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, pihak mereka mengalu-alukan sebarang pandangan daripada semua pihak berkenaan isu ini.

“Cadangan pindaan akta yang akan dimuktamadkan ini adalah bertujuan mengenakan hukuman yang lebih berat kepada mereka yang memandu secara merbahaya sehingga memudaratkan diri sendiri serta pengguna jalan raya lain dan ianya tidak ada kaitan dengan mana-mana kaum.

Sesuatu tragedi atau kemalangan jalan raya yang berlaku itu tidak mengenal kaum. Maka itu, dengan mengenakan hukuman lebih berat kepada pesalah jalan raya adalah langkah terbaik dalam usaha kita mencegah kehilangan nyawa akibat kemalangan jalan raya yang tidak sepatutnya berlaku.”

Sebelum ini bekas Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook dalam satu kenyataan berkata pemandu mabuk mesti dikenakan hukuman paling keras dan tiada tolak ansur diberikan kepada mereka.

Tidak menafikan hak orang bukan Islam untuk mengambil minuman keras, Loke menegaskan mereka tiada hak untuk memandu dan membahayakan orang lain dan hukuman seberatnya perlu diambil kepada mereka.

Disebabka terlalu kerap kejadian pemandu mabuk berlaku, kerajaan negeri Wilayah Persekutan  tidak menolak kemungkinan untuk membekukan semua aktiviti pengeluaran dan penjualan arak. Menterinya, Tan Sri Annuar Musa menegaskan cadangan pembekuan mungkin dilaksanakan sehingga satu garis panduan diwujudkan dan semakan perundangan dilakukan pihaknya.

Sumber: Berita Harian