
Piala Dunia FIFA 2026: Lionel Messi Bakal Kembali Pada Usia 39 Tahun?
Menurut pengendali Argentina, Lionel Scaloni, ‘pintu akan sentiasa terbuka’ untuk menerima kembali Lionel Messi agar beraksi semula di Piala Dunia FIFA 2026.
Messi, 35, yang merupakan orang pertama memenangi dua Bola Emas dalam penampilan di Piala Dunia dikatakan berjaya memberikan inspirasi kepada pasukan Argentina bagi menamatkan kemarau 36 tahun untuk menjulang Piala Dunia FIFA 2022 apabila menewaskan Perancis dalam perlawanan akhir baru-baru ini di Qatar.
Pada aksi perlawanan akhir yang sungguh mendebarkan tersebut, penyerang Paris Saint-Germain (PSG) itu berjaya menjaringkan dua gol dalam keputusan seri 3-3 dan turut menjaringkan gol penentuan sepakan penalti ketika pasukan negaranya itu menumbangkan Les Bleus.
“Pintu akan sentiasa terbuka. Dia gembira di atas padang dan ia sangat bagus untuk kami,” jelas Scaloni.
Namun, untuk mempertahankan kejuaraan mereka dalam kejohanan yang akan diadakan di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico pada 2026 itu nanti, Messi sudah menghampiri usia 40 tahun.
Walau bagaimanapun, Scaloni berpendapat kejayaan Piala Dunia tidak disifatkan sebagai penting untuk mengukuhkan label Messi sebagai antara pemain terbaik sepanjang zaman.
“Saya rasa tidak perlu menjadi salah seorang yang terhebat. Anda sentiasa meminta lebih daripada seorang pemain seperti Messi. Saya gembira untuknya dan untuk negara.
“Saya rasa Messi boleh ke Piala Dunia seterusnya. Ia akan banyak bergantung pada apa yang dia mahu, sama ada dia rasa selesa untuk meneruskannya,” tambahnya lagi.
BACA: Apa Maksud Sebenar Lionel Messi Dipakaikan Jubah Ketika Julang Piala Dunia Di Qatar?
Sumber: Sinar Harian