Piala Dunia FIFA 2022

Piala Dunia FIFA 2022: Ramalan EA Sports Sekali Lagi Hampir Pasti Menjadi Kenyataan

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Bulan lalu, EA Sports menerusi permainan video popular, FIFA 23 telah membuat ramalan mengenai negara manakah yang bakal memenangi Piala Dunia FIFA 2022.

Hasil dari perlawanan simulasi yang dilakukan oleh permainan video FIFA 23 tersebut, Argentina diramalkan akan menjuarai kejohanan Piala Dunia FIFA untuk edisi kali ini.

Memeranjatkan apabila ramalan itu hampir benar-benar berlaku apabila Argentina kini telah pun melangkah ke pentas final apabila berjaya menewaskan Croatia, 3-0 pada aksi separuh akhir.

Simulasi permainan yang dibuat oleh EA Sports itu juga turut melibatkan semua 64 perlawanan bermula dari peringkat kumpulan sehinggalah ke final.

Kapten Argentina, Lionel Messi turut diramalkan sebagai pemenang Kasut Emas selaku penjaring terbanyak, selain Pemain Terbaik Piala Dunia 2022.

Walau bagaimanapun, tidak semua ramalan EA Sports itu tepat apabila beberapa pasukan yang telah tersingkir awal didapati masih lagi berada dalam saingan.

Apa yang lebih menarik, ini bukanlah kali pertama EA Sports membuat perlawanan simulasi menjelang kejohanan bola sepak berprestij tersebut.

Dalam tiga edisi sebelum ini, EA Sports turut melakukan perkara yang sama dengan membuat ramalan keputusan perlawanan Piala Dunia FIFA.

Hasilnya amat mengagumkan apabila semua ramalannya menjadi kenyataan untuk tiga kali berturut-turut apabila Sepanyol, Jerman dan Perancis benar-benar menjadi juara untuk edisi 2010, 2014 dan 2018.

Adakah Argentina pula benar-benar akan bergelar juara untuk edisi 2022 kali ini? Sama-sama kita nantikan perlawanan akhir Piala Dunia FIFA 2022 yang akan berlangsung Ahad ini.

Piala Dunia FIFA 2022

Sumber: Utusan Malaysia