
Piala AFF Stadium Nasional Bukit Jalil: Tiket Dijual 59,000, Penyokong Hadir 62,989?
Aksi separuh akhir pertama Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 antara Malaysia menentang Thailand yang diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) hujung minggu lalu mencatat angka bilangan kehadiran penyokong yang mengagumkan!
Walaupun SNBJ mempunyai kapasiti sebanyak 80,000 tempat duduk, hanya 59,000 tiket sahaja yang dijual kerana 21,000 tempat duduk lagi terpaksa ‘dikorbankan’ untuk struktur pentas konsert Jay Chou.
Namun begitu, jumlah penonton yang membanjiri SNBJ pada malam tersebut dicatatkan sebanyak 62,989 orang! Persoalannya ialah, mana datangnya tiket untuk 3,989 lagi penonton tu?
Di media sosial, ramai yang meluahkan rasa kecewa kerana terpaksa duduk di atas tangga dan laluan koridor gara-gara masuk lewat walaupun telah membeli tiket grandstand.
Tidak kurang juga ibu bapa yang risaukan keselamatan dan nyawa anak mereka yang pastinya lebih berisiko tinggi sekiranya jumlah penonton di stadium melebihi kapasiti seperti itu.
Pempengaruh media sosial, Muhamad Harris Nasril yang berpeluang menyaksikan Malaysia membenam Thailand 1-0 pada malam itu turut berkongsi pengalamannya yang agak ‘kurang enak’ melalui hantaran di Facebooknya berikut.
Semoga pihak berkenaan dapat menyiasat dan bertindak sewajarnya agar insiden yang memalukan negara seperti ini dapat dielakkan pada masa hadapan.
Tempat duduk Stadium Bukit Jalil sejak diubah suai beberapa tahun dulu, sudah ada nombornya.
Maka, tiket yang dibeli juga sudah dicetak sekali nombor tempat duduknya, untuk memudahkan penyokong.
Semasa perlawanan Malaysia dengan Thailand Sabtu lepas, saya hadir awal, takut tempat duduk dikebas orang lain. Jam 6 petang saya tiba.
Saya lihat tempat duduk saya sudah ada orang lain duduk. Budak-budak remaja, dalam enam orang satu geng, mungkin dalam umur belasan tahun.
“Adik punya tiket nombor apa ya. Ini tempat abang,” saya kata pada adik tu, sambil menunjukkan tiket di telefon bimbit saya.
Dia kemudian membuka handphone, lalu mencari tiket. Mukanya sudah pucat.
Kemudian kawan dia sebut pada dia.
“Blah blah. Kita blah sekarang”.
Rupanya tiada tiket pada adik-adik tersebut.
Bagaimana mereka boleh masuk, sedangkan tiket perlu ditunjukkan kepada penjaga Gate di pintu masuk untuk diimbas?
Mereka kemudian beredar dan pergi ke tempat duduk lain.
Dalam jam 8 malam selepas itu, stadium sudah sesak. Tiada lagi tempat duduk tetapi ada ramai lagi yang masuk.
Saya lihat mereka duduk di tangga dan di depan laluan koridor.
Datang pula seorang lelaki dengan pasangan wanitanya. Dalam umur awal 20-an.
Dia menegur penonton yang duduk di tempat beliau di belakang saya.
“Ini tempat duduk saya. Ini tiket saya”.
Lelaki yang ditegur itu, kemudian berkata.
“Kalau kau dah lambat tak da maknanya nak duduk ikut nombor la. Kau ingat ni seat wayang ke? Aku tiket ada nombor pun orang lain dah duduk”.
Mereka bertekak dalam beberapa minit, akhirnya lelaki dan pasangan wanitanya beralah dan berlalu pergi.
BACA: Firma Singapura Urus Keselamatan Di Qatar, Elak Tragedi Itaewon & Kanjuruhan Berulang
Sumber: Muhamad Harris Nasril