Justice For Audrey

Petisyen #JusticeForAudrey Sudah Ditandatangani Lebih 3 Juta Orang

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Semalam, dunia media sosial dibanjiri dengan tanda pagar #JusticeForAudrey, seorang pelajar SMP (Sekolah Menengah Pertama) di Indonesia, Audrey yang didera secara fizikal dan mental oleh 12 orang pelajar SMA (Sekolah Menengah Atas) di Pontianak.

Kejadian tersebut dikatakan berlaku pada 29 Mac 2019 sekitar jam 2.30 petang waktu Indonesia. Mangsa berusia 14 tahun yang berada di rumah dijemput rakannya untuk ke rumah sepupunya dan diikuti oleh empat orang remaja lain.

Kemudian Audrey dan sepupunya dibawa ke sebuah bangunan di Jalan Sulawesi dan di sana sudah ada sekumpulan remaja perempuan yang sudah menunggu. Salah seorang daripada mereka menyiram air ke mangsa, menarik rambut mangsa dan menendangnya.

Justice For Audrey

Setelah terjatuh, kumpulan remaja terbabit masih memukul mangsa dan ada diantara mereka menghentakkan kepalanya ke lantai serta memijak perutnya. Walaupun berulang kali memohon maaf (meskipun bukan silapnya), mangsa dan sepupunya terus dipukul.

Sehingga, ada seorang di antara remaja berkenaan bertindak kejam; menanggalkan seluar mangsa dan secara paksa memasukkan jarinya ke kemaluan mangsa. Audrey kemudiannya berjaya keluar dari bangunan tersebut bersama sepupunya sebelum diselamatkan oleh orang yang melalui jalan tersebut.

Berikutan menerima ancaman daripada pelaku, Audrey hanya membuat laporan polis seminggu selepas kejadian tersebut berlaku. Trauma dengan kejadian tersebut, Audrey dikatakan sering meracau dan menjerit serta sedang menerima rawatan di sebuah hospital.

Justice For Audrey

Mengikut makluman daripada media sosial, kejadian serangan ini dipercayai menyasarkan sepupu Audrey yang juga bekas teman lelaki salah seorang pelaku dan menjadikan Audrey sebagai umpan.

Yang menimbulkan kemarahan orang ramai, apabila Komisi Pengawasan dan Perlindungan Anak Daerah (KPAD) mengeluarkan kenyataan supaya kejadian ini diakhiri dengan kedamaian; berbaik-baik antara dua belah pihak.

Tidak berpuas hati dengan cara pihak penguatkuasa memberikan hukuman, netizen di Indonesia sepakat untuk melakukan petisyen atas talian bagi membangkang keputusan KPAD ini.

“KPAD berharap kejadian ini akan berakhir damai demi masa depan pelaku. Kenapa mangsa kejadian seperti ini harus berdamai? Penyerang sepatutnya diadili dengan hukuman sewajarnya.” – Fachira Anindy, Pengasas Petisyen #JusticeForAudrey

Justice For Audrey

Sehingga kini, jumlah yang telah menandatangani petisyen #JusticeForAudrey sudah melebih 3 juta. Jika anda belum mendaftar dan berhasrat untuk menyokong petisyen ini, boleh klik pada pautan di bawah ini.

Semoga pihak berkuasa akan menjatuhkan hukuman yang kepada semua pelaku yang mendera Audrey. Tidak kisahlah jika pelakunya masih bawah umur, hukuman setimpal masih perlu dilaksanakan supaya remaja bawah umur lain tidak sewenangnya melakukan kesalahan jenayah.

Sumber: South China Morning Post