Godzilla

Pertembungan Godzilla VS Kong Dijangka Berlaku Lebih Awal

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Berita baik buat peminat filem raksaksa! Hanya 10 bulan selepas bermulanya tarikh tayangan Godzilla: King Of The Monsters pada 30 Mei 2019 ini di Malaysia, peminat akan dapat menonton sekuel seterusnya pula iaitu Godzilla vs. Kong.

Pada asalnya, tayangan filem inidijadualkan berlangsung genap setahun selepas Godzilla: King Of The Monsters iaitu pada bulan Mei 2020. Namun, berita yang baru diterima melalui Joblo.com menyatakan filem ini akan menemui penonton 2 bulan lebih awal iaitu pada bulan Mac 2020.

3

Filem Warner Bros. dan Legendary Pictures tersebut dikhabarkan juga baru sahaja selesai proses penggambaran rasminya pada hari ini di Australia. Ini bermakna, filem ini kini sedang berada dalam proses pasca penggambaran untuk menambah kesan efek khas, skor muzik serta kerja-kerja promosi.

Berikut adalah sinopsis rasmi filem Godzilla vs. Kong:

Usaha spesies manusia yang terancam untuk terus hidup di kalangan raksaksa di atas muka bumi tanpa disedari telah membuka ruang kepada pertembungan di antara Godzilla dan King Kong. Dua kuasa semulajadi terbesar di atas planet ini akan berlawan dalam pertarungan yang amat dinantikan sekian lama.

Tatkala agensi Monarch sedang menjalankan misi merbahaya di kawasan yang masih belum dicartakan untuk membongkar asal usul raksaksa ini, terdapat pula golongan yang ingin menghapuskan terus raksaksa-raksaksa ini dari muka bumi buat selama-lamanya.”

Godzilla vs. Kong diarahkan oleh Adam Wingard berdasarkan lakonlayar yang ditulis oleh Terry Rossio. Filem ini dibintangi oleh Alexander Skarsgard, Rebecca Hall, Brian Tyree Henry, Eiza Gonzalez, Jessica Henwick, Julian Dennison, Demian Bichir, Millie Bobby Brown, Kyle Chandler dan Shun Oguri.

2

Dipetik dari kisah raksaksa atau kaiju King Kong vs. Godzilla (1962) atau Kingu Kongu tai Gojira dari Jepun, rasanya sudah agak lama kita tidak menonton filem-filem pertarungan ala-ala ‘versus’ sebegini. Selain dari Batman v Superman: Dawn of Justice (2016), mungkin Freddy vs. Jason (2003) dan Alien vs. Predator (2004) boleh diletakkan dalam kategori yang sama?

1

Diharapkan Mac 2020 nanti, filem Godzilla vs. Kong ini akan benar-benar memaparkan aksi pertarungan hebat tanpa henti yang kita semua nantikan. Semoga Godzilla mahupun King Kong tidak berhenti bertarung semata-mata untuk menyelamatkan watak manusia yang bernama Martha.

#savemartha

 

Sumber: Joblo.com