Wanita Iran Tonton Bola

Pertama Kali Wanita Iran Dibenar Tonton Bola Di Stadium Selepas Larangan 40 Tahun, Menang 14-0

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Wanita Iran buat pertama kali dibenarkan menonton perlawanan bola sepak lelaki di stadium negara itu selepas Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengancam untuk menggantung keahlian jika negara itu berterusan mengamalkan polisi hanya lelaki dibenar menonton perlawanan sukan popular berkenaan.

Kaum wanita diharamkan dari menonton perlawanan melibatkan perlawanan bola sepak lelaki di stadium dan juga perlawanan sukan lain hampir 40 tahun sejak selepas revolusi Islam 1979, hasil fatwa ulama negara berkenaan yang mahu melindungi kehormatan kaum Hawa daripada melihat pemain lelaki yang berpakaian tidak menutup aurat. Hanya beberapa pengecualian diberikan untuk kumpulan kecil tetapi jarang berlaku.

Bulan lalu, FIFA mengarahkan Iran menarik semula pengharaman itu dan membenarkan penyokong wanita memasuki stadium tanpa sekatan mengikut jumlah tiket yang dibenarkan.

Arahan itu timbul selepas kematian ‘Gadis Biru’ selepas mangsa itu membakar dirinya bagi mengelak menjalani hukuman penjara selepas dia didapati bersalah mengenakan pakaian lelaki ketika menyamar untuk menonton satu perlawanan bola sepak.

Susulan kebenaran itu, kira-kira sebanyak 3,000 tiket diperuntuk kepada wanita sebelum habis terjual dalam masa sejam dan terpaksa ditambah untuk perlawanan kelayakan Piala Dunia semalam menentang Kemboja di Stadium Azadi yang berkapasiti 78,000.

Wanita Iran Tonton Bola
Sumber: FT

“Kami berasa gembira akhirnya berpeluang masuk ke dalam stadium. Ia memang luar biasa,” kata Zahra Pashaei, yang sebelum ini hanya menonton sukan itu di kaca TV.

Para penyokong wanita Iran di stadium mengibarkan bendera negara dan mengenakan pelbagai selendang dengan wajah dihiasi warna bendera kebangsaan.

Selepas larangan wanita menonton bola sepak di Iran ditarik balik, pasukan bola sepak mereka berjaya membenam Kemboja 14-0 semalam sekali gus menandakan kejayaan tuntutan mereka sejak puluhan tahun.

Sumber: FMT