
Pertama Kali Negaraku Berkumandang Di Paralimpik, Imbas Kembali Tiga Atlet Raih Emas
Imbas Kembali Tiga Atlet Paralimpik Sumbang Emas Buat Negara.
Olimpik Tokyo 2020 secara rasmi menutup tirai semalam dengan Malaysia meraih satu pingat gangsa menerusi acara badminton beregu lelaki dan perak bagi acara keirin lelaki.
Bagaimanapun, sokongan rakyat Malaysia kepada atlet negara tidaklah terhenti di sini kerana atlet paralimpik akan beraksi bermula 24 Ogos hingga 5 September ini.
Untuk temasya Sukan Paralimpik Tokyo, seramai 22 atlet akan menggalas cabaran negara dalam sembilan jenis sukan.
Sebagai rekod, Malaysia mengambil bahagian pada Sukan Paralimpik sejak 1972 dan telah mengumpul 11 pingat iaitu tiga emas, dua perak dan enam gangsa.
Mungkin ramai anak muda yang belum cukup mengenali kewujudan sukan Paralimpik ini, berkemungkinan kurang mendapat pendedahan berbanding sukan Olimpik.
Tahun 2016 meninggalkan memori indah buat rakyat Malaysia terutama yang berstatus OKU apabila atlet paralimpik negara tampil cemerlang meraih tiga pingat emas dan satu gangsa di temasya Sukan Paralimpik Rio, Brazil.
Pada waktu itu, menjadi detik manis apabila buat pertama kali dalam sejarah, lagu Negaraku berkumandang di bumi Brazil menerusi tiga atlet paralimpik negara dengan masing-masing berjaya memecah rekod dunia dan rekod Paralimpik.
Peminat sukan tanah air menghamburkan pujian terhadap kejayaan bermakna itu selain meluahkan rasa sebak mereka apabila melihat saat-saat gemilang itu dirakamkan.
Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi sumbang pingat emas pertama negara
Dikenali sebagai Mr. Dash atau Dik Wan meraih pingat emas pertama untuk negara melalui acara 100m T36 lelaki (cerebral palsy).
Mohamad Ridzuan mencatat masa 12.07 saat, sekali gus memadam rekod Sukan Paralimpik terdahulu milik Roman Pavlyk dari Ukraine iaitu 12.25 saat yang dilakukan di Beijing pada 2008.
Selepas majlis penyampaian hadiah, Mohamad Ridzuan, yang mempunyai kesukaran untuk bertutur, menangis tanpa henti dan terpaksa ditenangkan oleh ketua jurulatihnya, R.Jaganathan.
#OnThisDay #Rio2016 #Malaysia's first-ever #GOLD medal at the Paralympics Games. What a proud moment for Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi! @pridzuan36 @SyedSaddiq @scheekeong #TeamMAS 👏🇲🇾🥇 pic.twitter.com/USReL3aLmg
— TEAM #MAS 🇲🇾🏅🏆 (@myTeamMAS) September 11, 2018
Ziyad Zolkefli pecah rekod dunia acara lontar peluru
Kejayaan Mohamad Ridzuan kemudiannya disusuli Muhammad Ziyad Zolkefli melalui acara lontar peluru F20 lelaki (masalah pembelajaran).
Lebih manis, Ziyad telah mencipta rekod baharu dunia dalam percubaan pertamanya dengan jarak 16.40m, sekali gus memadam rekod dunia dan rekod Paralimpik milik Todd Hodgetts dari Australia iaitu 16.29m juga di London.
Atlet berusia 31 tahun itu meneruskan rentak kecemerlangan dan terus memperbaiki rekod dunia dengan jarak 16.84m pada percubaan kelimanya.
Setahun selepas Paralimpik Rio, beliau sekali lagi pecah rekod dunia sejauh 17.29m dalam Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017 di London namun gagal mengulangi pencapaian sama dalam Kejohanan Olahraga Para Dunia 2019 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) apabila meraih perak.
Namun, ia tidak mematahkan semangat kerana beliau mahu menggandakan usaha dalam persiapan mencapai misinya dalam temasya kelak.
What a throw #ZiyadZolkefli ! Ziyad memecahkan WR nya sendiri! #EmasUntukNegara #KamiLuarBiasa pic.twitter.com/sAOIUDRxSJ
— Tune Talk (@TuneTalk) September 10, 2016
Abdul Latif Romly cipta tiga rekod dunia lompat jauh
“Terbang Latif Terbang”, begitulah ungkapan yang berkumandang di media sosial selepas beliau berjaya meraih pingat emas ketiga negara serta turut mencipta rekod dunia di kejohanan itu.
Beliau yang beraksi pertama kali dalam acara lompat jauh T20 (masalah pembelajaran) Sukan Paralimpik mencatat jarak 7.60m pada lompatan kelimanya.
Rekod dunia terdahulu iaitu 7.35m adalah milik beliau sendiri yang dicatat pada Kejohanan Olahraga Dunia IPC di Doha, Qatar tahun 2015, manakala rekod Sukan Paralimpik iaitu 7.25m dipegang Jose Antonio Exposito Pineiro dari Sepanyol yang dilakukan pada edisi 2012 di London.
#OnThisDay: Malaysia's Abdul Latif Romly broke the world record THREE times on his road to the T20 men's long jump GOLD! 😮 #ReliveRio pic.twitter.com/qsqZMhX6ad
— #ParaAthletics (@ParaAthletics) September 11, 2017
Ayuh, sama-sama kita memberi sokongan padu dan mendoakan kejayaan buat atlet paralimpik negara yang akan beraksi di Paralimpik Tokyo tahun ini.