Pelaksanaan Gaji Minimum Bukan Masa Sekarang

Persekutuan Majikan Malaysia Tak Setuju Pelaksanaan Gaji Minimum RM1,500 Buat Masa Sekarang

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Baru-baru ini Kementerian Sumber Manusia memaklumkan penetapan kadar gaji minimum baharu pada nilai sekitar RM1,500 sebulan sebelum penghujung tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri M Saravanan berkata nilai sebenar kadar baharu itu belum dimuktamadkan dan perlu diselesaikan secepat mungkin, namun perkara itu boleh direalisasikan selepas mendapat persetujuan Jemaah Menteri.

Persekutuan Majikan Malaysia sifatkan ia bukan masa sesuai

Walau bagaimanapun, Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) menganggap situasi sekarang bukan masa sesuai untuk pelaksanaan gaji minimum RM1,500 sebulan selain bukan jaminan menyelesaikan masalah peningkatan harga barangan dalam pasaran bagi membantu golongan pekerja.

Presiden MEF Syed Hussain Syed Husman dalam kenyataan berkata, kebanyakan perniagaan tidak bersedia untuk melaksanakan cadangan gaji minimum baharu kerana mereka masih sedang cuba pulih daripada kejutan ekonomi akibat wabak COVID-19 dan bencana banjir baru-baru ini.

“Gaji minimum baharu akan menaikkan kos barangan dan perkhidmatan. Kos operasi pasti akan meningkat, jadi ini bukan masa yang sesuai,” katanya.

Sekurangnya 100,000 Pekerja Malaysia Hilang Pekerjaan Koronavirus

Beliau berkata, kebanyakan perniagaan kecil dan sederhana sedang menderita, malah peningkatan kecil dalam kos, seperti kenaikan gaji minimum, boleh mengakibatkan penutupan.

Sebaliknya, beliau berkata, kerajaan perlu memberi tumpuan kepada usaha membantu sektor swasta pulih dan mengawal kenaikan kos produk dan perkhidmatan.

Katanya, menaikkan gaji minimum kepada RM1,500 bukanlah penyelesaian untuk pekerja memperoleh gaji lebih tinggi, dan imbuhan itu harus berdasarkan prestasi pekerja dan keuntungan majikan.

Untuk makluman, kali terakhir gaji minimum dinaikkan adalah pada 1 Februari 2020, dengan kenaikan RM100 daripada RM1,100 ke RM1,200 sebulan, ketika pembentangan Bajet Tahun 2020.

Sumber: Bernama