
Persatuan Pertahankan Perokok (PHP) Gagal Cabar Larangan Merokok Di Kedai Makan
Tujuh lelaki yang menubuhkan persatuan dikenali sebagai Persatuan Pertahankan Perokok (PHP) yang mahu mencabar keputusan larangan merokok di kedai makan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) gagal dalam rayuan mereka.
Mahkamah Rayuan telah membuat keputusan untuk mengekalkan larangan merokok di semua premis kedai makan setelah memutuskan merokok di tempat awam bukanlah hak asasi yang perlu dilindungi di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Menurut panel hakim yang menyampaikan keputusan mahkamah dalam prosiding secara maya berkata, Menteri Kesihatan diberi kuasa di bawah undang-undang untuk mengenakan sekatan ke atas merokok seperti di mana atau apabila merokok dilarang.
“Kami berpendapat larangan merokok di kedai makan, restoran dan lain-lain boleh dianggap sebagai tidak melanggar Perkara 5 (kebebasan diri) dan Perkara 8 (semua orang adalah sama di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama dari segi undang-undang) Perlembagaan Persekutuan,” jelasnya.
Panel Mahkamah Rayuan juga bersetuju dengan tafsiran Mahkamah Tinggi bahawa perbuatan merokok di tempat awam bukanlah hak asasi yang sepatutnya dilindungi di bawah Perlembagaan Persekutuan.
“Memandangkan larangan itu terpakai kepada semua orang, semua pengunjung, isu diskriminasi jika timbul, tidak melanggar Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.
“Tiada kesilapan undang-undang atau fakta atau kegagalan hakim Mahkamah Tinggi dalam membuat keputusan untuk menolak semakan kehakiman perayu. Oleh itu tiada alasan untuk kami mengganggu atau mengubah keputusan hakim,” jelasnya lagi.
Sebelum ini, KKM telah mengenakan larangan merokok di semua restoran dan premis makanan berkuat kuasa 1 Januari 2019.
Pada 29 Oktober 2019, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Seri Mariana Yahya (kini Hakim Mahkamah Rayuan) menolak permohonan semakan kehakiman yang dikemukakan oleh tujuh individu itu untuk mendapatkan perintah certiorari bagi membatalkan keputusan KKM melarang merokok di kedai makan.
Dalam permohonan semakan kehakiman yang difailkan pada 31 Disember 2018 dengan menamakan KKM sebagai responden, tujuh lelaki tersebut mahu satu deklarasi bahawa keputusan KKM untuk melarang merokok di kedai makan adalah tidak berperlembagaan.
Mereka mendakwa perokok mempunyai hak sama rata dengan golongan tidak merokok untuk mengunjungi dan meluangkan masa di premis makanan dan kerajaan tidak menyediakan kemudahan yang mencukupi seperti kawasan merokok atau memasukkan peruntukan di bawah larangan merokok bagi pengusaha kedai makan untuk menyediakan kawasan larangan merokok mereka sendiri.
BACA: Pak Cik Ini Berjaya Buktikan ‘Merokok Membahayakan Kesihatan’ Hanyalah Satu Mitos?
Sumber: Sinar Harian
Trending now



